
Isu kedaulatan negara merupakan sesuatu yang sensitif dan tidak boleh diulas secara semberono.
Menurut Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, tindakan pempengaruh pro pembangkang yang menghentam kononnya tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berunding berkenaan kawasan cari gali petroleum oleh Petronas di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sebagai tunduk kepada negara China boleh memburukkan citra Malaysia di mata kuasa besar berkenaan.
Beliau mengulas demikian menghadapi seorang YouTuber yang mencaci PM baru baru ini dengan menggambarkan tindakan berunding tersebut merupakan usaha 'membodek' China.
"(Hakikatnya) kenyataan PM (berunding) bukan mengiktiraf kawasan ZEE itu milik China, tetapi mempertahankan kawasan itu sebagai kawasan milik negara kita di meja rundingan. PM menyuarakan hal tersebut kepada kerajaan China setelah negara itu juga menyatakan mereka menuntut kawasan yang sama.
"Kenyataan PM dimanipulasi oleh pembangkang sebagai menjual kedaulatan negara, dan menyerang PM dengan mengatakan kenyataan PM berkenaan sebagai suatu tindakan yang mengguris hati rakyat. Mereka juga menganggap PM kita tidak layak memimpin negara ini.
"Salahkah apabila PM mengatakan akan mempertahankan wilayah Malaysia melalui meja perundingan? Walhal rundingan itu sangat penting untuk kita menyelesaikan konflik secara aman dan konstruktif, terutamanya dengan China yang merupakan kuasa besar (ketenteraan) dunia," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu nasihat Agus sebagai mantan profesor universiti yang mengulas berlandaskan ilmu dan fakta, penyokong pembangkang tegurnya, harus mengutamakan ilmu dan adab dalam mengkritik terutama yang melibatkan hubungan antarabangsa.
"Dua nasihat saya. Pertama, jika pun kita berbeza politik kepartian, janganlah bermain dengan isu kedaulatan negara. Menuduh PM hendak menjual kedaulatan negara adalah tidak bertanggungjawab, tidak beretika, dan tidak bermoral.
"Kedua, berpolitiklah dengan fakta. PM dan semua kita mahukan yang terbaik untuk negara. Tidak puas hati dengan keputusan PM, tegur dan kritiklah secara berhemah," katanya lagi.
Beliau berkata dalam kehidupan bernegara, tanggungjawab utama pempengaruh adalah membawa naratif yang betul kepada masyarakat bukan sebaliknya mengelirukan mereka
Kommentare