top of page

Kedaulatan negara: Apa pemimpin Pas harapkan, PH membisu?

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
9 hours ago
2 min read

Tindakan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mempersoalkan laporan polis terhadap dakwaan Hj Hadi Awang mengenai campur tangan Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia sebelum 2018 ditempelak.


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, dakwaan membabitkan cubaan kuasa asing menentukan kepimpinan Malaysia bukan isu kecil yang boleh dianggap sekadar pertikaian antara Presiden Pas dengan Kedutaan AS.


Menurut beliau, tindakan menuntut penjelasan berhubung dakwaan campur tangan luar bukanlah tindakan melatah, sebaliknya merupakan manifestasi tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan serta kemerdekaan negara.


"Ia menyentuh soal kedaulatan, keselamatan negara dan maruah Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

"Justeru, apakah sebenarnya yang Fadhli harapkan? Pakatan Harapan (PH) membisu?


"Apabila rakyat dan pemimpin politik meminta dakwaan sebesar ini disiasat, mereka pula dituduh “melatah”. Logik sebegini bukan sahaja cetek, malah cuba memesongkan persoalan sebenar," katanya dalam kenyataan.


Hj Hadi mencipta kontroversi apabila mendakwa AS pernah menawarkan bantuan kepada partinya untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia pada 2014 yang kemudian dinafikan Kedutaan AS di Malaysia.


Berikutan itu, Ahli Parlimen Marang itu berdepan siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas kesalahan kenyataan yang menimbulkan kegusaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Sementara itu Saifuddin dalam kenyataan sama turut menyelar cadangan Fadhli supaya isu berkenaan diselesaikan melalui saman sivil. Tindakan tersebut tegasnya tidak akan menyelesaikan isu sebenar yang timbul dari kenyataan Abdul Hadi.

"Seluruh rakyat Malaysia berhak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku, siapa yang terlibat dan sejauh mana kepentingan negara pernah terdedah.


"Jika dakwaan itu tidak benar, rakyat juga berhak mengetahui bagaimana tuduhan seberat itu boleh dilemparkan kepada sebuah negara asing tanpa pembuktian yang jelas," tegas beliau.


Beliau turut mengkritik Fadhli yang membayangkan PH seolah-olah mempunyai kaitan hanya kerana bersuara mengenai isu berkenaan.


Sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai insinuasi politik tanpa bukti. Saifuddin mencabar Pas bentangkan dan serahkan kepada pihak berkuasa bukti bahawa mana-mana pemimpin PH atau parti politik tempatan pernah bersekongkol dengan kuasa asing


"Jangan sekadar melempar tuduhan samar dan membiarkan rakyat membuat andaian daripada sindiran semata-mata," tambah Saifuddin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page