Kedah perlu kembali jadi kubu KEADILAN, kukuhkan parti hadapi PRU-16
- 2 hours ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kedah perlu kembali menjadi kubu kuat KEADILAN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan usaha perlu dilakukan bagi memperkukuh parti di seluruh peringkat.
Presiden KEADILAN berkata parti berada pada tahap terbaik berbanding pembangkang hasil kerja keras pimpinan dan anggota sejak beberapa tahun lalu termasuk kejayaan menawan beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 terutamanya di kawasan selatan negeri di utara itu.
"Kedah adalah negeri yang sudah menunjukkan keupayaan dan potensi yang baik. Kawasan negeri dan Parlimen yang pernah kita tawan dengan berjaya perlu dipertahankan terutama di selatan Kedah.
"Negeri ini adalah contoh terbaik ‘based’ KEADILAN pada peringkat awal dan mudah-mudahan dengan semangat yang ditunjukkan kita dapat bina dan menjana kekuatan parti," katanya ketika berucap pada Konvensyen KEADILAN Kedah di Alor Setar hari ini.
Konvensyen KEADILAN Kedah itu dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalannya, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Anwar mengakui, sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2022, fokusnya lebih tertumpu kepada membetulkan ekonomi, pentadbiran serta dasar kritikal seperti tenaga dan semikonduktor.
Beliau kini memberi tumpuan kembali kepada parti selain merancang turun ke setiap negeri bertemu pimpinan cabang serta akar umbi bagi memastikan semua gerak kerja berjalan lancar, jelas Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.
"Cukup tiga tahun saya fokus isu kerajaan, sekarang saya nak tumpu parti, nak turun pastikan KEADILAN menjadi parti yang kukuh dan ampuh dalam negara. Kita semua perlu bekerja sebagai satu pasukan," katanya.
Beliau menekankan kejayaan KEADILAN bukan hanya bergantung kepada jumlah ahli malah memerlukan penyatuan pimpinan dan kemampuan parti menjawab pelbagai isu termasuk yang membabitkan sentimen kaum.
"Kekuatan dalam PKR kerana ada keupayaan untuk berbincang dari hati ke hati. Saya orang Melayu Islam tapi saya jamin saya Perdana Menteri untuk semua rakyat, Melayu, India, Cina serta masyarakat Sabah dan Sarawak," tegasnya.
Selain itu, Anwar menyeru ahli dan pimpinan KEADILAN supaya mengekalkan momentum PRU-15 dengan memperkukuh cabang, ranting dan jentera parti serta memanfaatkan pencapaian pentadbiran Kerajaan MADANI untuk menerangkan perkara positif kepada rakyat.
"Yang penting parti kita menang dan perjuangan reformasi yang dibawa sejak awal perlu diteruskan. Kita melalui banyak cabaran, kini semua keperluan tersedia untuk melaksanakan kerja parti dengan lebih efektif," katanya lagi.









Comments