Kecurian kabel komunikasi menyebabkan kerugian awam yang tinggi kerana terputusnya hubungan, terhenti kegiatan perniagaan atau merosakkan peralatan syarikat penyedia perkhidmatan.
Menurut ADUN Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai (gambar, dua dari kiri), jenayah mencuri kabel di kawasan DUN beliau dan di parlimen Sungai Petani amnya telah sampai ke tahap kronik dan tidak boleh dikompromi lagi.
Hal itu, katanya, berdasarkan maklumat daripada Telekom Malaysia (TM) bahawa kecurian kabel di Sungai Petani adalah yang kedua tertinggi di Malaysia. Manakala peralatan yang digunakan pula canggih termasuk menggunakan skylift seperti kontraktor pemasangan kabel.
"Apa yang mengejutkan, pencuri bukan sahaja mencuri kabel dengan cara biasa tetapi juga menggunakan peralatan pencurian yang profesional. Menunjukkan tahap skil mereka dalam aktiviti mencuri.
"Selain itu, kabel yang dicuri seringkali dibakar untuk mendapatkan tembaga dan dijual dengan harga sehingga RM30 sekilogram, memberikan keuntungan yang besar kepada pencuri," katanya.
Sehubungan itu, Adam Loh telah mengadakan mesyuarat bersama wakil TM semalam. Beliau menyuarakan pelbagai isu yang dibangkitkan oleh penduduk di kawasannya khusus hal hal keselamatan akibat jenayah tersebut.
"TM menyatakan, sebagai tindak balas kepada masalah penutup longkang yang sering tertinggal terbuka selepas kabel dicuri, mereka memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas menangani masalah berkenaan dan memastikan keselamatan awam dijaga," katanya.
Menurut Adam Loh, beliau menyokong langkah TM tersebut tetapi mahu usaha lebih agresif diambil, terutama kemungkinan terdapat sindiket besar di belakang rakaian kecurian itu.
Beliau juga menekankan bahawa komuniti, pihak berkuasa dan syarikat TM harus bekerjasama erat untuk mengatasi masalah tersebut.
ADUN Bakar Arang itu juga menyarankan pihak polis untuk menyiasat isu jual beli tembaga kabel untuk mengetahui pihak yang sebenarnya terlibat.
Comments