Kecuaian laporan Sinar : AMK gesa siasatan dalaman, tindakan disiplin
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menggesa agar kesilapan yang dilakukan media Sinar Harian yang mengaitkan Ketua Polis Negara pernah menganggotai parti berkenaan wajar diambil tindakan tegas.
Ketua Penerangan AMK, Ahmad Danish Hairudin (gambar) berkata, sayap pemuda itu kesal atas penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial menggambarkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai pernah menjadi ahli atau memegang jawatan dalam KEADILAN.
Hal itu, katanya, membawa tanggapan negatif bahawa perlantikan Ketua Polis Negara dibuat atas dasar politik.
"Perbuatan menyebar tanggapan pelantikan beliau dibuat atas dasar politik bukan sahaja menjejaskan kredibiliti dan profesionalisme institusi Polis DiRaja Malaysia, malah mencemar reputasi KEADILAN.
"Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab, khususnya apabila perkara ini dikaitkan dengan agenda politik yang cuba mencipta persepsi palsu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertitik tolak daripada itu, beliau menegaskan, AMK menekankan sebarang penulisan atau pelaporan yang menimbulkan salah faham seperti itu agar tidak dipandang ringan.
Katanya, pihak media sosial mahupun penerbit berita wajar mencatat fakta secara tepat dan menyeluruh sebelum berkongsi atau menerbitkan maklumat.
Manakala sebarang kesilapan harus dibetulkan segera, disertai pengakuan jelas dan permohonan maaf secara rasmi kepada Ketua Polis Negara serta kepada KEADILAN.
"AMK dengan ini turut mendesak agar pengendali akhbar Sinar Harian membuka siasatan dalaman dan mengambil tindakan disiplin sewajarnya terhadap individu atau petugas yang gagal mematuhi etika kewartawanan dan pemantauan kandungan," katanya.
Kepada rakyat Malaysia, Danish menyeru supaya mereka lebih berwaspada dan skeptikal terhadap maklumat yang disebar secara tidak sahih dalam ruang maya, serta merujuk kepada sumber rasmi sebelum membuat sebarang penilaian dan kesimpulan.
"Dengan ini, AMK menegaskan pendirian tegas untuk menegakkan etika maklumat dan mempertahankan integriti institusi negara serta parti," katanya lagi.
Untuk rekod, berlaku kesilapan dalam profil Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di Instagram Sinar Harian yang memaparkan Khalid pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN dan juga pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kedah.
Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh hari ini menafikan hal itu dan menyatakan rasa kesalnya terhadap fakta di Instagram berkenaan.
Comments