top of page

Kecewa kempen kaum, AMANAH giat penerangan politik matang

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 5 days ago
  • 2 min read
Khalid (kanan) mahu AMANAH lebih ageref menerangkan politik nilai prestasi kerajaan
Khalid (kanan) mahu AMANAH lebih ageref menerangkan politik nilai prestasi kerajaan

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai petunjuk bahawa politik berasaskan sentimen kaum masih mengatasi penilaian terhadap prestasi kerajaan, sekaligus berikrar untuk memperhebat usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan politik yang lebih matang.


Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, parti itu kecewa apabila kempen Pakatan Harapan (Harapan) yang memberi tumpuan kepada rekod pencapaian pentadbiran negeri gagal mendapat perhatian sewajarnya daripada sebahagian pengundi.


Beliau berkata, sebaliknya isu politik identiti dan sentimen perkauman menjadi faktor utama yang mempengaruhi corak pengundian sehingga menenggelamkan perbahasan mengenai prestasi kerajaan.


"Saya ingin menyatakan rasa kecewa kerana kempen Harapan yang berasaskan prestasi kerajaan tidak mendapat sambutan yang sewajarnya.


"Persoalan prestasi dilihat remeh, sedangkan isu terbesar yang dimainkan ialah politik identiti, kononnya orang Melayu perlu bersatu untuk menghadapi ancaman DAP sehingga ramai pengundi membuat pilihan berdasarkan sentimen takut, bukannya prestasi kerajaan," katanya pada sidang media Pakatan Harapan selepas keputusan PRN Negeri Sembilan di sini, malam tadi.


Menurut Khalid, pelbagai dakwaan berhubung ancaman terhadap institusi Melayu dimainkan sepanjang kempen sehingga menyebabkan isu pembangunan dan pencapaian pentadbiran tidak lagi menjadi pertimbangan utama pengundi.


Beliau berkata, Harapan telah menghuraikan pelbagai pencapaian kerajaan negeri sepanjang tempoh berkempen, namun hujah tersebut sering dibalas dengan naratif perkauman yang menumpukan kepada DAP.


"Kita berhujah panjang lebar mengenai prestasi kerajaan, tetapi UMNO, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional hanya menjawab dengan memainkan isu DAP. Ini amat mengecewakan kerana perbahasan tentang prestasi akhirnya diketepikan.


"Isu politik identiti, di mana persoalan Melayu perlu bersatu untuk menghadapi ancaman khususnya daripada DAP, termasuk dakwaan bahawa Menteri Besar dan Yang di-Pertuan Besar juga berada dalam tangan DAP, menyebabkan orang Melayu khususnya mengundi berdasarkan sentimen takut terhadap ancaman kononnya daripada DAP.


"Akibatnya, persoalan prestasi menjadi isu yang langsung tidak diberikan perhatian," katanya.


Sehubungan itu, Khalid berkata AMANAH akan terus bersama Pakatan Harapan memperkukuh usaha penerangan politik bagi mengubah cara berfikir masyarakat, khususnya pengundi Melayu, supaya memberi keutamaan kepada prestasi pentadbiran berbanding sentimen kaum.


"Bagi AMANAH, kita akan terus memberi penekanan kepada persoalan prestasi dan berusaha mengubah minda orang Melayu supaya mereka memberikan kepentingan kepada prestasi, bukan persoalan kaum.


"Inilah harapan dan cita-cita kami dalam Pakatan Harapan serta AMANAH, iaitu membawa kematangan dan kefahaman politik yang lebih mantap dalam kalangan masyarakat Melayu supaya isu prestasi diberikan keutamaan," katanya.


Beliau menegaskan usaha itu bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam masa singkat, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan untuk mendidik rakyat mengenai kepentingan memilih pemimpin berdasarkan keupayaan dan pencapaian.


"Ini adalah perjuangan yang berterusan dan usaha berterusan untuk mendidik masyarakat bahawa prestasi sebenar kerajaan dan calon adalah ukuran yang sepatutnya menjadi pertimbangan utama dalam setiap pilihan raya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page