Kecekapan tadbir urus, hasil Selangor cecah RM3 bilion
- Suara Keadilan
- 5 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Selangor membuktikan keupayaan pentadbiran apabila berjaya merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah negeri, mencecah RM3 bilion bagi tahun 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata pencapaian itu mencerminkan Selangor kekal berdaya tahan dengan pengurusan sumber yang cekap dan berhemah meskipun berdepan cabaran ekonomi global.
"Alhamdulillah. Di hari akhir tahun 2025 sukacita saya ingin sampaikan khabar gembira bahawa Kerajaan Negeri telah berjaya mencapai kutipan hasil berjumlah RM3 bilion.
"Jumlah ini merupakan tertinggi dalam sejarah Selangor," katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook semalam.
Sebagai rekod, Selangor mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang utama ekonomi negara pada 2024 apabila mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM432.1 bilion.
Menurut Invest Selangor, angka itu meningkat ketara berbanding RM406.1 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya sekaligus menjadikan Selangor satu-satunya negeri yang berjaya melepasi paras RM400 bilion untuk dua tahun berturut-turut.
Sementara itu Amirudin menerusi kenyataannya turut menyatakan komitmen untuk terus membangunkan negeri itu demi kesejahteraan rakyat.
"InsyaAllah, kita akan bekerja lebih kuat agar Selangor maju lebih hebat di tahun 2026," katanya lagi.





