top of page

Kecam serangan ke atas Doha, dunia perlu bertindak tamatkan kekejaman Israel

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 27 minutes ago
  • 2 min read

PM Anwar menyuarakan kecaman Malaysia terhadap tindakan Israel menyerang negara berdaulat Qatar
PM Anwar menyuarakan kecaman Malaysia terhadap tindakan Israel menyerang negara berdaulat Qatar

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha, Qatar, ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam semalam.


Anwar menyifatkan serangan itu sebagai pencabulan kedaulatan Qatar dan tindakan rakus yang melanggar undang-undang antarabangsa serta mengancam kestabilan rantau.


"Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha. Ia bukan sahaja satu pencabulan kedaulatan Qatar, malah satu tindakan rakus dan biadab yang melanggar tatanan undang-undang antarabangsa, serta provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan dan keselamatan rantau," katanya dalam muat naik di media sosial.


Beliau turut menegaskan bahawa Qatar di bawah kepimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani telah memainkan peranan besar sebagai perantara perdamaian, dan serangan terhadap Doha harus dianggap sebagai serangan ke atas seluruh dunia Arab, Islam, serta masyarakat antarabangsa yang mendambakan keamanan.


Pada masa sama, Anwar mengingatkan dunia mengenai kekejaman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.


"Gaza terus ditenggelami darah dan runtuhan. Kediaman dimusnahkan, hospital dibedil, anak-anak tidak berdosa menjadi mangsa korban. Israel kini tidak lagi menyembunyikan niatnya, menolak kewujudan negara Palestin, mengisytiharkan satu bentuk apartheid kekal, serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri," tegas beliau.


Anwar menambah, kecaman semata-mata tidak lagi memadai, sebaliknya dunia mesti mengambil langkah nyata termasuk menamatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel sehingga kekejaman dihentikan.


"Kenyataan sahaja tidak akan menghentikan bedilan roket dan peluru berpandu. Dunia mesti bertindak dengan langkah yang nyata dan berani termasuk menamatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis Israel sehingga kekejaman dihentikan dan hak Palestin dipulihkan," katanya.


Beliau menegaskan bahawa Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Qatar, Palestin, dan setiap bangsa yang menuntut keadilan serta keamanan.


"Inilah saatnya untuk kita bukan sahaja bersuara, tetapi bertindak.


"Semoga Allah SWT mengurniakan keberanian untuk kita melawan kezaliman, serta kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan maruah umat," ujar Perdana Menteri lagi.


Selain menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam itu, PM juga mengambhil kesempatan bertemu Perdana Menteri dan Putera Mahkota Arab Saudi, Presiden Turkiye, Raja Jordan, Presiden Pakistan dan Putera Mahkota Kuwait.


Menurut Anwar, dalam pertemuan itu mereka menekankan sokongan penuh terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan rakus dan biadab rejim Zionis Israel, di samping memperkukuh kesepakatan untuk membela Palestin dan mempertahankan kedaulatan negara Arab lain.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page