
Pemimpin Pas paling lantang mengecam program rumah terbuka Aidilfitri di 6 negeri anjuran Kerajaan Perpaduan kononnya digunakan untuk berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri, namun tanpa disedari program hampir sama turut dianjurkan di Kemaman, Terengganu.
Bagi Biro Penerangan dan Komunikasi KEADILAN Kemaman, sikap double standard itu itu amat tidak wajar dipamerkan oleh Pas yang dilihat 'cakap tidak serupa bikin'.
"KEADILAN Kemaman mempersoalkan motif Pas yang berterusan mengecam dan menyerang program rumah terbuka Aidilfitri Malaysia Madani tetapi dalam masa sama Pas juga menganjurkan majlis yang serupa di Kemaman.
"Program rumah terbuka Aidilfitri Pas Kemaman dijadualkan pada 29 April ini bertempat di Padang Awam Binjai, Kemaman itu termasuk di dalam tentatif program 'teguh pertahan' peringkat Pas Kemaman.
"Program teguh pertahan merupakan program kempen politik Pas bagi persediaan PRN tidak lama lagi," kata kenyataan media KEADILAN Kemaman.
Kenyataan itu juga mempersoalkan apakah program rumah terbuka Aidilfitri yang termasuk dalam program teguh pertahan itu bukanlah program kempen untuk PRN.
Kata kenyataan itu lagi, sikap bermuka muka dan hipokrasi Pas dalam isu jamuan hari raya menyerlahkan betapa mereka sewenang wenangnya menggunakan pelbagai dalil untuk menghalalkan tindakan, dalam masa sama mempotretkan sisi yang hodoh kepada musuh politik walaupun mereka juga lakukan hal yang sama.
"Sikap sebegini jelas bercanggah dengan ajaran akhlak Islam yang sebenar. Pas hanyalah sebuah parti politik yang sanggup menggadai apa sahaja di tangan mereka demi memuaskan nafsu serakah politik pimpinan Pas," kata kenyataan itu lagi.