top of page

Kecam ahli Kongres mahu sahkan kedaulatan Israel atas al-Aqsa - MAPIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read

ree

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melalui gabungan globalnya, Gabungan Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR) mengecam keras cadangan sekumpulan ahli Kongres Amerika Syarikat yang mahu “mengesahkan kedaulatan Israel” ke atas kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis yang diduduki.


Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan langkah itu sebagai tindakan biadab, melampau dan provokatif yang menodai kesucian umat Islam serta mencabar undang-undang antarabangsa.


"Cadangan ini bukan sekadar isu politik. Ia satu penghinaan terhadap dua bilion umat Islam di seluruh dunia dan cubaan terancang untuk menghalalkan penjajahan rejim Zionis.


"Masjid Al-Aqsa bukan tapak politik untuk dirunding, dibahagi atau dituntut. Ia adalah kiblat pertama umat Islam dan amanah suci seluruh ummah yang dijaga oleh sejarah panjang kepimpinan Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Mohd Azmi, langkah itu juga melanggar Perjanjian Wadi Araba 1994 yang mengiktiraf hak penjagaan Jordan ke atas Al-Aqsa, selain bertentangan dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 242, 478 dan 2334 yang menolak kedaulatan Israel ke atas Baitulmaqdis.


"Mengisytiharkan kedaulatan Israel ke atas al-Aqsa adalah mengisytiharkan perang terhadap maruah rohani umat Islam dan melampaui semua garis merah akidah, sejarah serta kemanusiaan," tegas beliau.


Sementara itu, Pengerusi MANAR Datuk Seri Ahmad Awang mengumumkan bahawa pihaknya akan menggerakkan seluruh jaringan masjid dunia bagi mempertahankan kesucian al-Aqsa.


"Setiap masjid adalah benteng iman dan menara kebenaran. Apabila Al-Aqsa diancam, setiap mimbar mesti bangkit. Berdiam diri bererti bersubahat," tegas beliau.


Gerakan global itu akan melibatkan khutbah Jumaat dan doa solidariti di seluruh Asia, Afrika dan Eropah, selain petisyen antarabangsa, kenyataan awam oleh institusi Islam dan deklarasi bersama pemimpin masjid dunia untuk mendesak tindakan diplomatik dan undang-undang terhadap cadangan ahli Kongres AS tersebut.


"Kita akan bekerjasama dengan OIC, Al-Azhar, Majlis Masjid Sedunia dan Waqaf Islam Baitulmaqdis untuk membentuk Front Pertahanan Bersatu Masjid Sedunia," kata Ahmad.


"Langkah ini perlu agar dunia menyedari bahawa Al-Aqsa bukan isu Palestin semata-mata — ia soal maruah umat Islam sejagat," ujar beliau.


Dalam kenyataan bersama MAPIM dan MANAR turut menegaskan bahawa tiada mana-mana entiti politik berhak mengubah atau mendefinisikan semula status Masjid al-Aqsa.


Kedua-dua pemimpin pertubuhan itu turut mendesak semua negara Islam memanggil pulang dan memanggil menghadap duta AS bagi menyampaikan bantahan rasmi serta membawa isu ini ke Perhimpunan Agung PBB dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).


"Resolusi Kongres AS ini adalah campur tangan biadab terhadap kesucian agama dan mesti ditolak oleh semua negara Islam," kata Mohd Azmi dan Ahmad.


Jelas mereka kesatuan ummah mesti diterjemahkan kepada tindakan konkrit, bukan sekadar kecaman tetapi pertahanan politik, diplomatik dan moral yang jelas terhadap al-Aqsa.


"Umat Islam tidak akan berdiam diri menyaksikan khazanah paling suci dalam sejarah dicemari. Dari Kuala Lumpur ke Istanbul, dari Jakarta ke Rabat, dari Makkah ke Johannesburg — semua masjid akan bangkit demi al-Aqsa," tegas Mohd Azmi dan Ahmad.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page