Kebun tepi rumah, tanam guna polibeg mampu tingkatkan sekuriti makanan
- Suara Keadilan
- Aug 22, 2022
- 2 min read

Kebun kecil di tepi rumah mempunyai peranan penting meningkatkan sekuriti makanan.
Menurut Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah, sekuriti makanan amat mendesak terutama dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila dunia dilanda wabak Covid 19 dan terkini perang di antara Rusia dan Ukraine.
Hal itu diungkapkan beliau dalam ucapan pada majlis perasmian Kebun Kak Wan di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, semalam.
"Kita dalam 2 tahun ini kita melihat 2 fenomena yang berlaku menonjolkan begitu pentingnya isu keselamatan makanan
"2 tahun lebih kita lalui pandemik Covid dan lihat bagaimana ia ganggu dan berhentikan rantaian bekalan makanan. Banyak negara diganggu sehingga ada tempat kurang makanan dan harga pula melambung.
"Negara yang mengeluarkan makanan mereka sendiri terselamat. Mereka tidak perlu import, tutup sempadan dan mereka kekal (dengan bekalan cukup).
"Kita ada perang Rusia - Ukrine, itu pun jadi masalah terutama pembekalan gandum, sebab Ukraine keluarkan banyak gandum untuk eksport, tak boleh keluar. Itu ada impak harga makanan naik.
"Malaysia kena tangani hal ini jauh lebih serius. Keadaan kita teruk dalam keselamatan makanan sebab kita import sebahagian besar makanan sehingga berbelanja RM60 bilion setahun.
"Sedihnya kita import makanan yang kita boleh keluarkan. Banyak sayur kita import dari Thailand, India dan kita boleh tanam. Tak ada rancangan dari kerajaan pusat untuk pastikan ini (penanaman makanan) berlaku," katanya.
Selain itu, Sivarasa berharap kerajaan mewujudkan galakan atau bantuan kepada konsep pertanian di tepi atau halaman belakang rumah yang mula mendapat perhatian sejak 2 tahun kebelakangan ini.
Katanya, tanaman boleh dilakukan dengan konsep polibeg sekiranya seseorang tidak mempunyai bidang tanah yang besar sebagaimana di Kebun Kak Wan di Kampung Kubu Gajah berkenaan.
"Sekarang kita gunakan polibeg, tanah tak subur pun boleh kita bertani.
"Kita juga boleh berternak di negara ini. Ada penternak yang berjaya kata, tak ada masalah cari pembeli tetapi kita masih juga import.
"Kita ada masalah pengeluaran susu, daging. Misalnya 80% daging kambing diimport dari luar negara. Hanya ayam dan telur yang kita keluarkan cukup untuk kegunaan kita.
"Inilah cabaran yang kita lalui. Kalau jadi krisis besar, rantaian terganggu daging tak sampai, apa yang kita akan makan," katanya lagi.
Comments