top of page

Kebimbangan Digital ID bocor, implan cip tidak berasas - PM


Oleh: Helmi Mohd Foad


Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kebimbangan orang ramai terhadap pelaksanaan Identiti Digital Nasional (Digital ID) adalah tidak berasas.


Perdana Menteri (PM) turut menepis dakwaan mengatakan rekod peribadi terbocor dan cip diimplan dalam tubuh individu melalui penguatkuasaan Digital ID.


"Apa takut isu peribadi? Bank Negara Malaysia tidak akan lepaskan rekod personal perbankan peribadi. Jadi yang itu dikawal.


"Kemudian juga kata kononnya ada cip masuk dalam badan dan sebagainya, itu semua tengok banyak sangat filem Hollywood," katanya dipetik Bernama selepas membuat pendaftaran Digital ID di Putrajaya sekali gus menjadikan beliau individu pertama memiliki Digital ID berkenaan.


Beliau mendaftar dan mencuba sendiri sistem Digital ID tersebut sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata rakyat perlu menerima kenyataan bahawa negara harus maju seiring dengan perkembangan semasa termasuk penggunaan teknologi dan transformasi digital.


Turut membuat pendaftaran Digital ID adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.


Turut mendaftar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.


Perdana Menteri berkata berkata buat masa ini kerajaan tidak memaksa mana-mana individu untuk berdaftar dengan Digital ID.


Bagaimanapun, penjawat awam digalakkan untuk mendaftar kerana pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan semua bentuk penyasaran subsidi akan disalurkan melalui Digital ID.


Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.


Tanpa menggantikan sistem MyKad, Digital ID merupakan platform yang dipercayai dan selamat serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page