Kebebasan institusi kehakiman yang menyaksikan bekas Perdana Menteri Najib Razak disumbat ke penjara selepas keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah sebelumnya perlu membuka mata golongan Atas Pagar yang alergi terhadap politik.
Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Aziz Bari berkata demikian dalam program syarahan politik di Facebook bertajuk "Kes Najib - Kesan Politik dan PRU 15", malam tadi.
Katanya, ungkapan tokoh tokoh Pakatan Harapan (PH) bahawa keputusan bersejarah itu tidak mungkin dicapai sekiranya rakyat tidak membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 adalah tepat.
"Saya ingin memetik apa yang dikatakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar. Beliau mengaitkan keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan yang mengesah bekas PM keenam itu bersalah, bahawa keputusan itu tidak mungkin berlaku jika tidak berlaku perubahan pada 2018
"(Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke juga berkata keputusan itu dicapai daripada perubahan politik 2018
"Kebebasan kehakiman dimungkinkan dengan perubahan politik. Hal ini bukan sahaja di Malaysia. Perubahan itu dimungkinkan (berlaku) dengan sesuatu yang merobah sistem politik," katanya.
Justeru, ADUN Tebing Tinggi itu menyeru kepada golongan Atas Pagar yang sinis terhadap politik selepas Langkah Sheraton atau mempersoalkan kelemahan kerajaan PH selama 22 bulan agar memikirkan kembali untuk terlibat dalam membuat keputusan politik pada PRU ke 15 ini.
Katanya, kelompok yang 'masa bodoh' terhadap politik itu perlu memikirkan kembali adakah mahu meneruskan perubahan dan negara menjadi lebih baik pada masa hadapan atau cukup dengan kerajaan yang masih jauh daripada berkualiti hari ini
"Kepada mereka yang persimis dalam politik. Kita lihat setahun dua ini bahawa telah muncul satu kelompok, generasi tidak peduli atau naif dan tak mahu berpolitik.
"Kita mengharapkan dengan apa yang berlaku itu mereka yang berfikiran sedemikian dapat berfikir dua kali agar hala tuju negara dapat dikembalikan ke landasan yang betul.
"Di United Kingdom kemenangan besar Parti Buruh di bawah Tony Blair pada 1997 misalnya telah memungkin reformasi di House of Lord dan membina Mahkamah Agung baru berbentuk Supreme Court.
"Dengan adanya kemenangan Buruh pada 1997 memungkin perubahan dalam struktur Perlembagaan di UK," katanya.
Bagaimanapun mengenai apakah Najib akan diampunkan oleh Yang di-Pertuan Agong, pakar undang undang Perlembagaan itu tidak menolak kemungkinan tersebut akan berlaku.
Katanya, kuasa pengampunan terletak kepada Agong dan biasanya baginda tidak begitu terikat dengan kerajaan memerintah.
"Menariknya sudah ada pihak buat petisyen jangan diampunkan (Najib). Agong ada peranannya dan ada ruang baginda boleh mainkan. Kita ada Majlis Raja raja, jadi walaupun Majlis Raja raja tidak ada peranan dalam isu ini, seperti kita lihat dalam isu darurat Agong berbincang dengan raja yang lain.
"Kita harus ingat apakah falsafah dan tujuan kuasa pengampunan itu diadakan. Kita sudah ada duluan termasuk Mohktar Hashim, Harun Idris dan Anwar Ibrahim. Agong ada ruang tertentu (dalam proses pengampunan)
"Apa pun yang akan dibuat nanti ada implikasi politik dan rakyat boleh menerima atau menolak (pengampunan) dan memberi isyarat dalam pilihan raya sebagai contoh.
"Ini satu perkara yang saya fikir dalam dunia demokrasi ini wajar. Setiap kuasa ada batas dan ada kesan yang ditanggung," katanya lagi.
Comments