
Kebebasan bersuara yang disalahguna dalam politik Malaysia sejak kebelakangan ini menyebabkan situasi politik bergerak ke arah bobrok dan tidak bertanggungjawab.
Bagi Ahli Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, negara akan rosak binasa sekiranya politik toksik berasaskan fitnah yang dicetuskan oleh pembangkang PN sekarang ini dibiarkan berleluasa.
Katanya, rakyat akan hilang hormat kepada pemimpin dan begitu juga perkhidmaan awam tidak lagi akan taat kepada kerajaan memerintah sebagai majikan.
"Rasa hormat dan kasih sayang sesama manusia jauh terhakis lantaran menuruti nafsu dan taksub (ahli politik). Agama seolah-olah diperkudakan untuk kepentingan politik perkauman.
"Pemain politik dan penyokong mereka ditarbiahkan dengan sifat sifat dendam dan benci. Mereka membuang sifat rasional. Media sosial dipenuhi cacian, fitnah dan penghinaan yang melampau, terutama sekali kepada pemimpin yang tidak sehaluan dan PM ke10 menjadi sasaran utama.
"Pada saya keadaan ini perlu dihentikan segera. Diberhentikan melalui pendidikan awal dan latihan supaya generasi pewaris tidak terjebak dan terus diheret ke dalam kekusutan yang akhirnya mengancam negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Zulkifli dalam pada itu menyarakankan supaya kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas agar pelaku-pelaku yang melangarinya dikenakan hukuman berat.
Beliau menyarankan supaya Kementerian Komunikasi dan Digital serta Kementerian Dalam Negeri untuk segera bertindak.
"Bukan sahaja merangka peraturan dan undang-undang baharu tetapi harus bertindak segera dengan lebih tegas dan berkesan.
"Mereka yang melakukan kesalahan dan kakitangan awam yang tidak menjalankan arahan dan tugas harus dikenakan tindakan tatatertib.
"(Hal ini kerana) kebebasan bersuara yang dibenarkan telah jauh menyimpang daripada yang sepatutnya," ujar beliau.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Batang Lupar itu lagi, tugas pembangkang bukanlah semata mata menghentam kerajaan sebagaimana yang dilihat di Dewan Rakyat atau di media sosial.
Sebaliknya, kata Abang Zulkifli, pembangkang mempunyai tanggungjawab besar melakukan semak dan imbang terhadap dasar kerajaan.
"Sebenarnya rakyat merasa rimas dengan apa yang berlaku sekarang, daripada pemimpin sehingga penyokong parti pembangkang menentang parti memerintah, termasuk juga dari kalangan kakitangan perkhidmatan awam.
"Mereka seolah-olah tidak lagi terikat dengan peraturan dan sumpah sebagai anggota Parlimen atau Perintah Am Perkhidmatan Awam.
"Mereka mengetepikan tanggungjawab melaksanakan amanah. Sebaliknya mereka menghentam Kerajaan dan pemimpin kerajaan dengan tanpa asas munasabah," katanya.
Menurut Abang Zulkifli, dalam situasi yang semakin sukar ini kerajaan tidak banyak pilihan selain melakukan tindakan tegas
Katanya, jika Kementerian perlu dirombak maka lakukan segera, jika sesebuah jabatan dan agensi itu perlu disusun semula maka perlu disegerakan.
Kerajaan pusat juga, kata Abang Zulkifli, boleh mencontohi politik Sarawak yang lebih matang dan menjamin kehidupan rakyat bersatu padu biar pun berbilang kaum dan agama.
"Kematangan pemain politik di Sarawak boleh dijadikan contoh. Pembangkang berperanan menjadi semak dan imbang.
"Mereka tidak bersikap biadap terhadap pemimpin Kerajaan. Kerana pembangkang faham bahawa mandat itu diberi oleh rakyat dan harus dihormati.
"Menegur itu tanda kita sayangkan negeri, bukan membenci atau berdendam peribadi terhadap pemimpin Kerajaan," katanya lagi.