top of page

Kebebasan bersuara bukan lesen sebar fitnah 3R - Fahmi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 13 hours ago
  • 1 min read

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) menyeru orang ramai supaya sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negara.


Menurutnya, walaupun rakyat mempunyai hak untuk bersuara sebagaimana diputuskan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, ia tidak memberikan kebebasan mutlak untuk fitnah atau mencetuskan provokasi melampau, khususnya yang menyentuh sensitiviti agama, raja dan kaum (3R)


"Keputusan Mahkamah Persekutuan menunjukkan kita ada hak untuk bersuara, tetapi tidak ada hak untuk memfitnah atau mengeluarkan kata-kata bersifat 3R.


"Walaupun kita telah meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233(1), yang tidak lagi mengguna pakai perkataan jelik, tetapi (sekarang) menggunakan jelik melampau, masalah ataupun mesej 3R itu masih dianggap satu jenayah dan boleh diambil tindakan," katanya dipetik.


Fahmi ditemui pemberita di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai di pekarangan Pasar Taman Sri Sentosa, petang semalam.


Sementara itu menurutnya, sebanyak 1,493 kandungan berkaitan isu 3R diturunkan setakat ini hasil pemantauan rapi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama pengendali platform global.


Tindakan itu merupakan sebahagian daripada maklum balas terhadap 2,486 aduan yang dikemukakan bagi memohon penurunan kandungan sensitif bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Januari 2026.


"Mesej berunsur 3R masih dianggap satu kesalahan dan boleh dikenakan denda hingga RM500,000. MCMC berupaya mengesan individu yang meninggalkan komen berunsur 3R, walaupun bukan pada hantaran asal," tegasnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page