Kebebasan berkarya perlu tanggungjawab sosial - YADIM
- Azuan Ab Rahman

- 11 hours ago
- 1 min read

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memandang serius isu adegan lakonan ranjang pada pementasan teater sebuah sebuah universiti tempatan sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat baru-baru ini.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom dalam satu kenyataan menegaskan, kebebasan berkarya dan berekspresi perlu disertai dengan rasa tanggungjawab sosial serta penghormatan terhadap norma masyarakat.
"Insiden itu bukan sekadar polemik seni, tetapi mencerminkan cabaran sebenar dalam mengimbangi antara kebebasan berkarya dengan tanggungjawab moral, khususnya dalam konteks sebuah negara yang berteraskan nilai agama, budaya dan adab ketimuran," kata kenyataan itu.
Menerusi kenyataan sama, YADIM menyatakan komitmen pihaknya untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem seni yang berteraskan nilai Islam dengan pendekatan dakwah kreatif menerusi inisiatif Layar Dakwah YADIM (LDY).
Inisiatif tersebut jelasnya merupakan medan pembinaan bakat yang melatih dan membimbing pengkarya menghasilkan karya seni yang berkualiti, berpengaruh dan patuh syariah.
Ia meliputi penghasilan filem pendek, forum, diskusi serta latihan industri yang sekali gus menyampaikan mesej Islam secara berhikmah, relevan dan menyentuh jiwa tanpa mengabaikan nilai estetika.
"YADIM menyeru semua pihak memainkan peranan dalam menilai setiap bentuk hiburan dengan kebijaksanaan, berlandaskan ilmu, adab dan tanggungjawab bersama.
"Ini demi memastikan landskap seni negara berkembang secara sihat, bermaruah serta selari dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.




Comments