Kebakaran paip gas: Kesejahteraan penduduk jadi keutamaan - MB
- Suara Keadilan
- Apr 2
- 1 min read

Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti punca berlakunya insiden tersebut yang dijangka siap dalam tempoh 72 jam.
"Kita akan melakukan siasatan menyeluruh untuk mengetahui punca berlakunya insiden ini. Ada pelbagai maklumat yang disebarkan di media sosial yang perlukan pengesahan.
"Kalau ada apa-apa (maklumat), tolong sampaikan kepada pihak berkuasa untuk kita lakukan siasatan menyeluruh terhadap isu ini. Harap polis akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk kita mendapat petunjuk punca berlakunya insiden ini," katanya dipetik.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran tersebut di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights pada Selasa.
Sementara itu menerusi satu hantaran di laman Facebooknya Amirudin memaklumkan, keutamaan pada masa kini adalah keselamatan penduduk.
Susulan itu dua kawasan perumahan terbabit seluas radius 290 meter akan ditutup dan dikategorikan sebagai kawasan larangan sehingga ia di pastikan selamat sebelum penduduk dibenarkan kembali ke rumah mereka.
"Kerajaan Selangor akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam mengendalikan isu berkenaan demi kesejahteraan para penduduk," tambahnya.
Comments