top of page

Kebakaran Kg Numbak: Kerajaan teliti tempatkan pelajar terjejas di asrama

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 19 minutes ago
  • 1 min read

Kerajaan sedang berusaha menempatkan sementara pelajar yang terjejas kebakaran tiga kampung di Numbak di asrama.


Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata langkah dicadangkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah itu bagi memastikan proses pembelajaran, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar Tingkatan Enam tidak terganggu.


"Kita akan cuba tempatkan mereka di mana-mana asrama yang kosong, walaupun bukan di sekolah asal mereka.


"Fokus utama kita adalah memastikan proses pembelajaran mereka dapat diteruskan tanpa gangguan," katanya dipetik laporan media.


Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Mangsa Kebakaran di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu pada Isnin.


Pada majlis berkenaan, sebanyak sembilan pelajar Kolej Tingkatan Enam dan 129 pelajar Sekolah Kebangsaan Kebagu menerima bantuan kewangan menerusi Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) Kecemasan bernilai RM300 selain beg dan alat tulis.


Kebakaran pada 30 Ogos lepas memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air dan tiga kanak-kanak dilapor terkorban.


Mustapha berkata berdasarkan rekod JPN Sabah, 410 pelajar daripada lapan sekolah terjejas akibat kebakaran berkenaan.


Menurutnya, masih terdapat pelajar terjejas yang masih tinggal di khemah di lokasi kejadian serta menumpang sementara di masjid.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page