top of page

Kebakaran Kampung Bahagia: Jabatan Hal Ehwal Agama salur RM420,000

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Kerajaan MADANI menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyalurkan bantuan berjumlah RM420,000 kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia


Menterinya, Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, bantuan disalurkan itu sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap mangsa yang berdepan ujian besar akibat kebakaran minggu lalu sekaligus meringankan beban penduduk yang terjejas.


"Dalam setiap ujian, kita hadir bersama. Bersimpati dengan musibah kebakaran yang menimpa warga Kampung Bahagia, Sandakan, kerajaan melalui Hal Ehwal Agama telah turun menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa.


"Semoga bantuan ini memberi kelegaan dan menguatkan semangat mereka yang diuji," katanya menerusi kenyataan di Facebook.


Bantuan kepada mangsa Kampung Bahagia melibatkan sumbangan RM250,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), RM50,000 daripada Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) serta RM10,000 sumbangan awal daripada Sekolah Dalam Kem (SDK).


Sementara itu menurut Dr Zulkifli, pihaknya turut menyalurkan kepada penduduk Kampung Aru dan Kampung Berhala.


Bagi Kampung Aru, bantuan RM10,000 disumbangkan oleh Yayasan Taqwa kepada Masjid Nurul Iman, selain RM10,000 daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) kepada komuniti setempat membabitkan RM100 untuk 100 penerima.


Sementara, RM10,000 sumbangan Yayasan Taqwa disalurkan kepada Masjid Nur Islam di Kampung Pulau Berhala.


Kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia pada 19 April lalu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah di kawasan seluas lebih empat hektar, sekali gus menjejaskan ribuan penduduk.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan ke perkampungan itu pada 22 April lalu mengumumkan sumbangan ihsan RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan kepada 300 keluarga terlibat bencana tersebut.


Beliau turut mengumumkan sumbangan RM300 untuk setiap murid sekolah yang terjejas dalam kebakaran itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page