top of page

Kebakaran Hospital Sultanah Aminah: Bentang laporan siasatan ke Parlimen




Kebakaran Hospital Sultanah Aminah kelmarin menghairankan rakyat Malaysia kerana kejadian serupa itu telah berlaku sebanyak 3 kali di hospital sama dalam tempoh kurang 5 tahun.


Malah pada 2016 lalu, Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA pernah terbakar dan menyebabkan 6 mangsa terkorban.


Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika itu bagi mengenalpasti punca kebakaran. Jawatankuasa itu diketuai oleh Mohd Hishamudin Yunus, bekas Hakim Mahkamah Rayuan bersama 6 lagi anggota iaitu mantan Pengarah Kesihatan, mantan Pengarah JPA, mantan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, wakil Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), wakil Lembaga Arkitek Malaysia serta seorang pensyarah. Hasil siasatan setebal 225 muka surat telah pun diserahkan kepada KKM pada Jun 2018.


Namun hal yang menjadi tanda tanya, kata Akmal, apabila ketua pengarang portal kesihatan CodeBlue yang menulis artikel berkaitan laporan tersebut telah disiasat oleh pihak polis di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan baru-baru ini.


"Malah Hishamudin Yunus, pengerusi jawatankuasa turut dipanggil polis bagi siasatan di bawah Akta sama, sedangkan beliau menyatakan laporan tersebut telah diklasifikasikan tidak sulit oleh kerajaan pada Oktober 2019.


"Sekiranya penulisan artikel oleh CodeBlue tidak tepat, sewajarnya laporan jawatankuasa siasatan bebas tersebut wajar didedah kepada umum agar maklumat sebenar boleh diketahui.


"Saya menggesa pihak kerajaan membentangkan dan membahaskan laporan tersebut dalam persidangan Parlimen akan datang.


"Pada masa sama, pembentangan laporan secara terbuka adalah penting agar wujud ketelusan dan akauntabiliti," kata beliau dalam satu kenyataan.


Menurut Akmal lagi, laporan siasatan terdahulu amat penting diketahui bagi memastikan apakah tindakan yang telah diambil memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kesediaan menghadapi bencana kebakaran di HSA mencukupi. Malah laporan itu juga berguna bagi hospital lain yang menghadapi masalah sama.


"Walaupun kebakaran baru-baru ini disusuli dengan pembentukan jawatankuasa siasatan baru, saya khuatir sekiranya tiadanya locus standi atau kekuatan untuk memastikan ketegasan dan kepatuhan bagi memastikan tindakan susulan diambil maka kelemahan akan berulang.


"Melalui pembentangan dan perbahasan laporan tragedi kebakaran 2016 di Parlimen, Ahli-Ahli Parlimen boleh menjalankan semak dan imbang bagi mendesak kerajaan mengambil serius soal keselamatan dan kesejahteraan perkhidmatan kesihatan negara dan jika terdapat keperluan untuk dana dan peruntukan tambahan bagi penyelenggaraan atau naik taraf hospital dan klinik-klinik kesihatan kerajaan," katanya lagi.


Kebakaran pada jam 3 petang di HSA pada 28 Jun lalu melibatkan Wad Perubatan Perempuan (WPP).


Ketika kebakaran 52 pesakit berada di Kompleks WPP. Daripada jumlah itu sebanyak 24 pesakit berjaya diselamatkan oleh Pasukan Tindakan Pantas (Emergency Respon Team).


Bagaimanapun, kebakaran tersebit tidak membabitkan kecederaan atau kematian.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page