Kebajikan rakyat Ampang terus jadi keutamaan – Azman Abidin


Kebajikan rakyat di Parlimen Ampang akan terus diberi perhatian menerusi penyelarasan bantuan dan inisiatif kerajaan yang tersusun.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin (gambar) berkata, beliau telah diberi amanah oleh Perdana Menteri bagi memastikan penyampaian bantuan kepada rakyat di kawasan berkenaan dapat diteruskan secara cekap dan berkesan.
"Saya telah diberikan amanah oleh Perdana Menteri untuk berkhidmat sebagai Penyelaras Parlimen Ampang bagi memastikan penyampaian bantuan dan kebajikan kepada rakyat Ampang dapat diteruskan secara lebih tersusun, cekap dan berkesan," katanya dalam kenyataan.
Menurut Azman, usaha penyelarasan akan dilaksanakan bersama Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) serta agensi kerajaan berkaitan.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih berkesan.
"Penyampaian bantuan ini juga akan dikoordinasikan secara rapat bersama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Ampang, pemimpin masyarakat serta pihak-pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian," katanya.
Azman berkata, permohonan bantuan berkaitan kebajikan rakyat di Parlimen Ampang boleh dikemukakan terus kepada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri untuk tujuan penyelarasan.
Beliau turut memberi jaminan komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan penuh integriti dan profesionalisme.
"Saya bersama pasukan komited untuk melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, profesionalisme dan integriti demi memastikan kebajikan rakyat Ampang terus menjadi keutamaan," katanya lagi.




Comments