top of page

Kebajikan penduduk Setiawangsa akan terus dibela - Afdlin Shauki

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • May 22
  • 1 min read

Majlis Pimpinan Parti Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Parlimen Setiawangsa memberi jaminan bahawa kebajikan dan keperluan penduduk di kawasan itu akan terus diberi perhatian walaupun pada waktu ini tiada Ahli Parlimen mewakili kawasan berkenaan berikutan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengosongkan kerusi berkenaan.


Pengerusi MPPWP Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan (gambar) berkata, pasukan beliau akan terus memainkan peranan membantu masyarakat dan komuniti Setiawangsa agar segala permasalahan rakyat akan terus disantuni.


"Saya ingin memberi jaminan bahawa anda tidak keseorangan.


"MPPWP Zon Parlimen Setiawangsa akan terus memainkan peranan membantu masyarakat dan komuniti Setiawangsa sebaik mungkin agar segala permasalahan rakyat dapat terus disantuni dan dibantu tanpa henti," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, pasukan MPPWP akan berusaha mengambil alih serta menyelaras perkara-perkara yang memerlukan perhatian supaya kebajikan penduduk terus terjaga.


"Jangan risau. Jangan rasa terpinggir," tegasnya yang juga Ketua Cabang KEADILAN Setiawangsa.


Beliau turut memaklumkan bahawa penduduk boleh menghubungi Hotline Setiawangsa di talian 011-6299 1008 bagi sebarang isu berkaitan bantuan komuniti, kebersihan, infrastruktur, kebajikan, aduan tempatan dan masalah masyarakat.


“Pasukan kami akan cuba membantu dan menyalurkan perkara tersebut kepada pihak berkaitan dengan secepat mungkin,” katanya.


Tambah beliau, pihaknya juga menerima kerjasama serta sokongan daripada pelbagai agensi dan badan kerajaan dalam usaha membantu menyelesaikan isu-isu di kawasan Setiawangsa.


"Apa yang penting sekarang ialah kita terus bersatu sebagai satu komuniti. Setiawangsa bukan sekadar kawasan politik. Setiawangsa adalah rumah kita bersama," katanya.


Beliau berkata, MPPWP Setiawangsa akan terus turun padang, mendengar keluhan rakyat dan bekerja sedaya upaya demi memastikan penduduk di kawasan itu terus terbela.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page