Kebajikan atlet, peruntukan sukan negara terus terjamin - PM
- Suara Keadilan

- May 20
- 1 min read

Perdana Menteri menegaskan bahawa peruntukan bagi kegiatan sukan dan kebajikan atlet negara akan tetap terjamin walaupun negara sedang berdepan kekangan kewangan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan termasuk untuk latihan dan kemudahan itu penting bagi memastikan pencapaian cemerlang ditunjukkan atlet negara dapat terus diperkukuhkan.
"Walaupun kita kata ada kekangan kewangan, saya beri jaminan dan beritahu Taufik (Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari) dalam mesyuarat Jemaah Menteri, acara kegiatan dan kebajikan sukan tetap kita pelihara sepenuhnya. Tidak ada potongan.
"Saya ingat atlet ini bimbang sikit, susah hati (jika peruntukan dipotong). Jangan bimbang. Itu bukan masalah saya dan bukan masalah anda, itu masalah menteri.
"Jadi, mudah-mudahan kita lihat kejayaan terus di negara kita. Kita sudah capai tahap yang membanggakan," katanya dipetik pada majlis Anugerah Sukan Negara 2025, di Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara 2025, semalam.
Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan kepada pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Turut disampaikan, Anugerah Olahragawan Paralimpik kepada atlet para berbasikal, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin, manakala Anugerah Olahragawati Paralimpik kepada atlet para renang, Lim Carmen.
Sementara itu menerusi ucapannya, Perdana Menteri mahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggunakan sebarang lebihan peruntukan untuk tujuan kebajikan atlet.
"Jika mahu jayakan sukan, olahraga negara ini, tumpuannya mestilah kebajikan atlet. Itu menjadi faktor nombor satu. Lebih selesa dan mudah serta tempat latihan lebih baik," katanya.




Comments