Kebajikan pegawai dan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) akan ditingkatkan melalui persekitaran kerja yang kondusif.
Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci rumah kepada pegawai serta anggota ESSCom bekeluarga di Lahad Datu pada Selasa.
Menurut Saifuddin, penting untuk pihak kerajaan menjaga kebajikan anggota ESSCom memandangkan jasa yang disumbangkan mereka dalam menjaga keamanan dan keselamatan Sabah disifatkan sangat besar.
ESSCom juga jelasnya telah melakar beberapa kejayaan sejak penubuhannya lebih 10 tahun lalu, antaranya, tiada lagi kes penculikan untuk tebusan direkodkan sejak 15 Jan 2020 selain kerap menumpaskan banyak sel pengganas dan membanteras pelbagai kes penyeludupan, selain mengekang kemasukan pendatang.
"Jadi, ini adalah antara petunjuk kejayaan ESSCom yang disumbangkan oleh anggota yang bertugas dan kaitannya apabila aspek kebajikan mereka kerajaan ambil tahu iaitu keadaan iklim kerja mereka akan lebih kondusif dan mereka dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan," katanya.
Beliau turut berpuas hati dengan ESSCom menjalinkan kerjasama berterusan dengan pihak berkepentingan, antaranya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam memperkenalkan aplikasi memantau pergerakan dan keberadaan pelancong di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Sementara itu, Saifuddin ketika mengulas mengenai kemudahan perumahan untuk pegawai dan anggota ESSCom itu menjelaskan, penempatan fasa pertama itu melibatkan pembelian 60 unit rumah di Taman Palm Garden di sini dengan peruntukan RM40 juta yang diluluskan pada 15 Julai lalu.
Comments