Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) dilihat akan membantu bukan sekadar ekonomi kaum berkenaan malah memberi naratif positif terhadap usaha Kerajaan Perpaduan merapatkan jurang pendapatan.
Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng usaha dan pembaharuan yang diterapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan mampu memulihkan kembali peranan Bumiputera dari segi ekonomi terutama pasca pandemik Covid-19.
"Saya berpendapat usaha kerajaan Madani menganjurkan KEB2024 dengan penglibatan menyeluruh kementerian serta agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) mampu memulihkan kembali penguasaan ekonomi Bumiputera lantas memacu pertumbuhan ekonomi domestik dalam beberapa tahun lagi.
"Ini ditambah lagi dengan komitmen Perdana Menteri sanggup turun melihat sendiri pameran yang disediakan khusus buat penggiat industri kecil dan sederhana (IKS) mempromosikan pelbagai produk bagi menjana ekonomi negara," katanya.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju turut optimis KEB2024 bukan sahaja menambah keupayaan ekonomi Bumiputera malah ekonomi bukan Bumiputera akan mendapat limpahan secara tidak langsung, asalkan tata kelola dan urus tadbir dijalankan dengan betul.
Hal itu memandangkan penyertaan ekuiti Bumiputera boleh ditingkatkan lagi menerusi pelbagai program keusahawanan dan kecekapan pemain industri mendapatkan peluang yang disediakan kerajaan serta agensi berkaitan.
"Saya berharap dengan keyakinan Datuk Seri Anwar terhadap penganjuran KEB2024 yang disertai ratusan pempamer akan membawa sinar baharu tanpa meminggirkan dasar-dasar ekonomi yang digariskan kerajaan seperti Kerangka Ekonomi Madani yang diluncurkan pada 27 Julai tahun lalu.
"Kemampuan kerajaan menerusi kerangka itu pastinya akan menjadi pencetus kepada galakan Bumiputera menceburi sektor terkini seperti tenaga baharu, kecerdasan buatan (AI) dan memperkasa sektor TVET bagi kemajuan ekonomi negara," tambahnya.
KEB2024 diluncurkan semalam oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan akan ditutup secara rasmi oleh Anwar pada Sabtu ini.
Comments