Kritikan berlebihan ke atas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kekalahan mengejut PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru baru ini adalah tidak perlu.
Menurut Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah, desakan supaya Anwar melepaskan Ketua Pembangkang sangatlah tidak wajar, tambahan ketika tiada calon lain yang lebih layak mengantikan beliau.
"MPN KEADILAN Kedah berdiri teguh bersama Pengerusi PH yang juga Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi PH menuju PRU15 demi meletak kembali negara di landasan yang betul. Kearifan, ketelusan serta integriti beliau sebagai pemimpin yang telah teruji didambakan oleh seluruh rakyat yang cintakan tanahair .
"Kami mencermati bingkasan reaksi dari pendokong KEADILAN secara keseluruhannya berikutan kenyataan umum seorang ADUN dari parti rakan komponen yang jelas mencemar semangat kesetiakawanan yang terbentuk sekian lama dalam perjuangan menobatkan aspirasi rakyat, dan kenyataan itu juga menodai penghormatan wajar kepada sosok pemimpin yang telah berkorban diri demi rakyat dan watan," kata mereka dalam satu kenyataan.
Tegas kenyataan itu lagi, seharusnya dalam keadaan akan menghadapi satu lagi PRN di Sarawak, rakan komponen seharusnya mengambil langkah memelihara keharmonian serta keutuhan gabungan.
"Elakkan apa jua kenyataan yang mengguris sensitiviti rakan demi keutuhan satu perjuangan murni untuk peradaban satu bangsa .
"Sebagai satu entiti yang bergerak atas dasar konsensus dalam gerak kerja, adalah sangat tidak wajar meletakan beban kegagalan tanpa mengkaji musabab terperinci hanya ke atas satu sosok sedang kebertanggungjawaban harus dipikul bersama .
"Justeru kami menggesa setiap dari kita cermat dan berhemah serta bertanggungjawab atas setiap kenyataan politik terkait isu samada semasa mahupun umum," kata kenyataan itu lagi.
Comments