
Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mengingatkan pimpinan untuk lebih berhati-hati menerima keanggotaan baharu daripada Perikatan Nasional agar peristiwa pengkhianatan terhadap parti tidak berulang kembali.
Pengarah Komunikasi AMK, Haziq Azfar Ishak berkata, hal itu susulan laporan oleh beberapa agensi media semalam terkait hasrat 'segolongan kumpulan' tertentu untuk menyertai KEADILAN yang wajar untuk diambil prihatin dan waspada.
"(Dalam hal ini) KEADILAN sebagai salah satu parti utama yang menerajui Kerajaan Perpaduan perlu mengekalkan kestabilan dalaman parti agar dapat melaksanakan agenda reformasi yang didambakan rakyat dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan, tanpa terpalit dengan permasalahan dalaman parti yang berupaya mengalihkan fokus sebenar," kata Haziq dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, katanya, adalah wajar supaya segala kemungkinan yang boleh mengganggu gugat kestabilan dalaman parti khususnya menerima keanggotaan baharu hasil penghijrahan beramai-ramai dari parti lain diambil kira dan dipertimbangkan sedalam-dalamnya.
"KEADILAN juga perlu terus beriltizam menunjukkan teladan yang baik untuk parti politik lain serta menunjukkan keikhlasan dalam perjuangan di medan siasah," katanya.
Justeru, Haziq menegaskan KEADILAN seharusnya tidak lagi membenarkan sebarang ruang dibuka untuk mengulang peristiwa pengkhianatan terhadap parti pada tahun 2020 yang meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Semalam, FMT melaporkan, ratusan ahli akar umbi Bersatu dijangka akan menyertai KEADILAN bagi membantu individu tertentu dalam KEADILAN menjelang pemilihan parti.
Enggan mengulas sumber yang diterima, FMT mendakwa penyertaan beramai-ramai itu turut berpunca daripada ketidakupayaan untuk memajukan kerjaya politik 'kumpulan' tersebut dalam Bersatu.
Comments