top of page

Keamanan asas kesejahteraan, bersama pelihara kestabilan negara – Saifuddin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

Keamanan dan keselamatan negara perlu terus dipelihara sebagai asas kepada kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar).


Beliau berkata, sambutan Hari Kebangsaan ke-69 tahun ini membawa tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang mengingatkan bahawa kesejahteraan tidak hadir secara automatik sebaliknya lahir daripada keamanan, perpaduan dan keyakinan rakyat terhadap masa depan negara.


"Alhamdulillah sekali lagi, kita menyambut Hari Kebangsaan sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan terus membangun.


"Tema ini membawa peringatan bahawa kesejahteraan bukan sesuatu yang datang bergolek dan berlaku dengan sendiri, bahkan ia lahir daripada keamanan yang kita pupuk, jaga dan pelihara, perpaduan yang kita pertahankan dan keyakinan rakyat terhadap masa depan negara," katanya dalam kenyataan sempena Hari Kebangsaan 2026.


Menurut beliau, keamanan tidak boleh dipandang ringan kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa sentiasa memikul amanah memastikan keselamatan negara terpelihara.


"Warga pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab kami supaya rakyat terbanyak dapat menjalani kehidupan dengan tenang, ekonomi terus berkembang dan negara kekal stabil," katanya yang juga pemangku Timbalan Presiden KEADILAN.


Bagaimanapun, beliau menegaskan tanggungjawab menjaga keamanan bukan hanya terletak di bahu kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan setiap rakyat.


"Hakikatnya, keamanan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Setiap individu rakyat harus memainkan peranan kita.


"Hormati undang-undang, hargai perbezaan pandangan di antara kita, pelihara perpaduan," katanya.


Saifuddin berkata, kestabilan keselamatan akan memberikan kesan langsung kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara.


"Apabila keselamatan negara terjaga, kestabilan politik akan berlaku, kemakmuran ekonomi akan dapat dinikmati, kek ekonomi akan menjadi lebih besar dan setiap rakyat akan dapat menikmati bahagiannya," katanya.


Sempena Hari Kebangsaan ke-69, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia memperkukuh semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap negara demi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan sejahtera.


"Saya mengajak kita semua untuk terus memperkukuh semangat kebersamaan dan cintakan negara agar Malaysia terus kekal aman, makmur dan sejahtera – untuk generasi hari ini dan generasi akan datang," katanya.


Saifuddin turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-69 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page