top of page

KeadilanUntukZara: Fadhlina bertemu wakil sekretariat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 13
  • 2 min read

Fadhlina menerima memorandum #KeadilanUntukZara dari pihak Sekretariat Solidariti Zara
Fadhlina menerima memorandum #KeadilanUntukZara dari pihak Sekretariat Solidariti Zara

Oleh: Azuan Ab Rahman


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyambut baik memorandum #KeadilanUntukZara diserahkan kepada Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Ts Aminuddin Hassim bagi pihak kementerian semalam.


Menerusi satu hantaran di laman sosialnya, Fadhlina memaklumkan telah bertemu dengan wakil Sekretariat Solidariti Zara di bangunan Parlimen bagi membincangkan secara lanjut semua kebimbangan yang dibangkitkan pihak mereka.


"Seluruh warga KPM sangat berduka cita dengan kemalangan yang menimpa Allahyarham Zara Qairina.


"Kes ini sememangnya menjadi perhatian utama Kementerian. Saya meletakkan seluruh harapan supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan," katanya.


Menerusi hantaran tersebut beliau turut mendedahkan tuntutan dalam memorandum itu yang meliputi isu reformasi sistem pendidikan, penguatkuasaan SOP kes buli, latihan berkala kepada guru dan pentadbir, serta penjelasan terbuka kepada masyarakat berhubung kes berkenaan.


Pihaknya turut memberi maklum balas terhadap tuntutan dikemukakan.


"Untuk makluman, KPM telah mengumumkan beberapa langkah penting dalam usaha meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.


"Ini termasuk dengan melakukan audit keselamatan, tambah baik sistem aduan buli, menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan, mengambil tindakan tegas gantung dan buang sekolah bagi salah laku buli dan memastikan aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat," kata Fadhlina.


Tuntutan berikutnya adalah mengadakan sesi libat urus bersama gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil bagi membentuk SOP yang jelas dan tegas terhadap kes buli.


KPM menurut Fadhlina bersetuju dengan cadangan ini dan akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi memberi pencerahan berkenaan garis panduan menangani salah laku buli yang sedang berkuat kuasa.


"Kementerian juga terbuka terhadap pandangan dan cadangan untuk tambah baik garis panduan sedia ada," jelasnya.


Mengenai mewajibkan latihan mandatori dan berkala kepada semua guru, pentadbir, dan warden dalam intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar, serta tatacara profesional pengendalian aduan yang berpihak kepada mangsa, Fadhlina berkata, garis panduan menangani salah laku buli perlu dipatuhi di semua institusi pendidikan KPM.


"Aspek latihan akan terus diperkasakan bagi memastikan kesiapsiagaan pentadbir sekolah, guru dan warden," katanya lagi.


Tuntutan keempat iaitu memberikan penjelasan terbuka kepada masyarakat mengenai isu ini khususnya tindakan yang telah diambil oleh pihak sekolah, Fadhlina berkata, KPM menyambut baik langkah PDRM mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani kes yang melibatkan Allahyarham anakanda Zara Qairina.


Sementara kementerian pula akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dilaksanakan oleh pihak polis.


"Perkembangan berkenaan kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak PDRM," jelasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page