KEADILAN Wilayah Persekutuan menyambut baik pelantikan Dr Zaliha Mustafa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu setelah jawatan itu dipangku oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk setahun lamanya.
Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng, pelantikan itu tepat pada masanya bagi melancarkan pentadbiran 3 kawasan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
"Saya mewakili KEADILAN Wilayah Persekutuan mengalu-alukan pelantikan Yang Berhormat Dr Zaliha sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu selepas pengumuman rombakan kabinet yang diumumkan Datuk Seri Anwar pada Selasa
"Pengalaman dan keterampilan beliau menerajui kementerian terdahulu menjadi nilai tambah kepada rakyat yang menetap di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dan ia menjadi bukti bahawa PM memerlukan seorang menteri yang cekap dan aktif dalam mentadbir hal-ehwal pembangunan dan kemampanan serta kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Andre yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju berkata, beliau bersedia membantu Dr Zaliha dan para pegawai beliau bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat diperkasa, sesuai dengan cabaran dan perkembangan semasa.
"Saya mewakili KEADILAN Wilayah Persekutuan juga bersedia membantu Dr Zaliha dari pelbagai bidang yang memerlukan perhatian dan tindakan berkesan dalam memastikan Wilayah Persekutuan kekal menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara dan meningkatkan penglibatan rakyat menerusi inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun depan," katanya.
Dalam rombakan kabinet yang diumumkan pada 12 Disember lalu, kementerian wilayah diwujudkan semula bagi menggantikan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sesuai dengan peranan penting wilayah itu sebagai antara penggerak utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Pelantikan Dr Zaliha disifatkan tepat pada masanya bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi bagi ketiga-tiga wilayah itu kekal pada landasan tepat bersesuaian dengan kerangka Ekonomi MADANI yang digagaskan Perdana Menteri pada 27 Julai lalu.
Comments