KEADILAN Wilayah Persekutuan kecam serangan terhadap Ketua Polis Dang Wangi
- Suara Keadilan

- Sep 12
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
KEADILAN Wilayah Persekutuan mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas yang menimpa Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman ketika menjalankan tugas di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur semalam.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Wilayah Persekutuan Datuk Azman Abidin (gambar) berkata tindakan tersebut jelas perbuatan keji, biadab dan sama sekali tidak boleh diterima dalam masyarakat yang bertamadun.
"Kami mendesak agar individu yang menjadi dalang serta pihak-pihak yang terlibat dalam serangan tersebut segera dibawa ke muka pengadilan.
"Tindakan tegas tanpa kompromi perlu diambil bagi menjamin keselamatan anggota penguat kuasa serta mengelakkan insiden serupa berulang," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam insiden tersebut, Sulizme dilaporkan cedera pada kepala selepas dibaling objek oleh individu tidak bertanggungjawab ketika mengawal keadaan semasa proses pengosongan unit perumahan di kawasan itu.
Serangan berkenaan mengundang kecaman pelbagai pihak kerana bukan sahaja mencederakan pegawai kanan polis, malah dianggap melampaui batas undang-undang.
Azman menegaskan hak berhimpun secara aman adalah sebahagian daripada amalan demokrasi namun ia tidak wajar disalahgunakan sehingga mencetuskan huru-hara, menanam kebencian atau mengancam keselamatan awam.
Pada masa sama, KEADILAN Wilayah Persekutuan turut berdoa agar Sulizme segera sembuh daripada kecederaan yang dialami dan kembali pulih untuk meneruskan khidmat bakti kepada negara.
"KEADILAN Wilayah Persekutuan berdiri teguh bersama seluruh pasukan keselamatan yang setiap hari berkorban demi menjaga keamanan, ketenteraman dan kedaulatan undang-undang di tanah air ini," katanya.









Comments