
Seluruh Cabang-cabang KEADILAN di Wilayah Persekutuan menganjurkan program sumbangan kasih membantu masyarakat keturunan India menjelang perayaan Deepavali.
Menurut KEADILAN Wilayah, pandemik Covid 19 yang melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan masyarakat India yang kurang bernasib baik terjejas persiapan perayaan.
KEADILAN mengambil inisiatif mengajurkan program bantuan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.
"Di Parlimen Wangsa Maju, KEADILAN bersama Ahli Parlimen, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew telah menyampaikan sumbangan bantuan makanan kepada keluarga-keluarga miskin di sekitar perumahan Jalan Madrasah, Kampung Kuantan dan Teratai Mewah melalui Angkatan Muda KEADILAN (AMK).
"Naib Ketua Cabang Wangsa Maju, Sri Tharan, yang juga pegawai komuniti Parlimen Wangsa Maju mengelolakan program sumbangan 300 set bantuan makanan kepada masyarakat India di Kuil Sri Ayyanareeswarar, Jalan Genting Kelang.
"Ketua Wanita Wilayah Persekutuan, Puan Rohaidah Mamat turut mengambil pendekatan menyampaikan sumbangan sayur-sayuran dan makanan kering secara terus dari rumah ke rumah di Parlimen Bandar Tun Razak," tulis KEADILAN Wilayah dalam satu kenyataan.

KEADILAN Wilayah berkata, sejak 2 November lalu Cabang dan Ranting telah mengadakan program Sumbangan Kasih Deepavali kepada penduduk di sekitar Desa Tun Razak, Flat Sri Sabah, Flat Sri Johor dan Pekan Sungai Besi.
KEADILAN Seputeh membuat pengagihan makanan dan sayur percuma ke kawasan rumah kos rendah, termasuk PPR Bukit Jalil dan Flat Sri Lempah.
Menurut Ketua Cabang Seputeh, S. Mahendran, meskipun Seputeh dikatakan sebagai kawasan mewah namun hakikatnya ramai warganya yang miskin tinggal di kawasan PPR dan perumahan kos rendah.
"Ahli Parlimen kawasan lain juga membuat program sumbangan Deepavali di kawasan masing-masing. Nik Nazmi bersama Wanita Cabang Setiawangsa menjalankan program sumbangan kepada penduduk di PPR Seri Semarak pada 7 November 2020. Pada masa yang sama, Prabakaran Ahli Parlimen Batu, dan Nik Nazmi juga kelihatan sentiasa bergerak untuk program Deepavali dalam keadaan mematuhi SOP," tulis kenyataan itu lagi.
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai yang juga Ketua Cabang Wangsa Maju mengatakan tahun ini agak gelap kerana Covid -19 dan politik semasa.
"Keadaan PKPB tidak membenarkan kami membuat rumah terbuka, tetapi cara sumbangan inilah, kami dapat memberi mereka harapan untuk menyambut Deepavali dengan bermakna," tulis kenyataan itu.
Tidak ketinggalan Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada mereka yang meraikannya. Semoga warna-warni kehidupan diterangi dengan cahaya bagi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Deepavali disambut pada Sabtu ini, 14 November 2020.