KEADILAN, Wanita PH Sabah bersolidariti bersama keluarga adik Zara Qairina
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

KEADILAN Sipitang, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Cabang Sipitang, Sabah semalam hadir di tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama bagi memberi sokongan moral kepada keluarga Allahyarhamah adik Zara Qairina Mahathir semasa proses penggalian semula kubur sehingga jenazah Zara dibawa keluar sekitar 7.30 petang.
Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan Sabah, Junaidah Makku @ Junn yang hadir melihat proses penggalian berkenaan berkata, anggota KEADILAN Cabang Sipitang turun bersolidariti bersama keluarga bagi mendoakan keadilan buat adik Zara Qairina.
"Sejak awal kes ini, YB Fadhlina Sidek, Ketua Wanita KEADILAN Pusat telah menziarahi keluarga adik Zara di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada hari pertama.
"Hari kedua, KEADILAN Sipitang melalui Cabang, Wanita dan AMK turun menziarahi ibu Allahyarhamah di kediaman serta menyampaikan sumbangan," katanya.

Selain itu tambahnya, beliau dan AJK Wanita KEADILAN Sipitang turut beberapa kali hadir menziarahi ibu Allahyarhamah memberikan sokongan moral berterusan.
Tegas Jun, kehadiran semalam pula adalah bukti solidariti dan komitmen KEADILAN serta Wanita PH Sabah untuk menuntut kebenaran dan keadilan bagi seorang anak kecil yang tidak berdosa.
Turut hadir di tanah perkuburan semalam adalah pimpinan utama Cabang, AMK, Wanita, serta Saidi Ali daripada Pasukan Pembimbing Lapangan (PPL) JPRP Pusat.