KEADILAN Wangsa Maju sediakan makanan panas untuk penduduk memerlukan
- Redzuan Shamsudin
- Aug 12, 2021
- 1 min read

KEADILAN Cabang Wangsa Maju telah melancarkan program agihan makanan panas dalam pembungkus kepada penduduk yang memerlukan.
Program ini antara inisiatif Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew bagi memastikan golongan tersisih mendapat keperluan makanan secukupnya dalam keadaan pandemik Covid 19.
Menurut Ketua Cabang Wangsa Maju, Andre Lai (gambar, kanan sekali), program di bawah kendalian beliau itu tertumpu di Kampung Puah Seberang, Flat Setapak Indah Jaya, Teratai Mewah, Desa Setapak, Kg Kuantan dan PPR Wangsa Sari yang mempunyai peratusan penduduk B40 yang tinggi.
"Jumlah sumbangan antara 30 hingga 80 set makanan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu di setiap kawasan.
"Program ini dijayakan dengan kerjasama NGO dan penyumbang swasta.
"Program ini dilancarkan tepat pada masanya kerana kawasan yang disasarkan juga mempunyai kes Covid yang semakin serius. Agihan dilakukan bukan sahaja di tempat awam tetapi kami pastikan makanan sampai ke rumah penduduk warga emas dan OKU," katanya.
Tambah Andre, sekurang-kurangnya 3 kali seminggu sukarelewan dan staf pejabat Ahli Parlimen akan menghantar makanan di tempat berbeza pada masa yang sama.
Katanya, bantuan bukan saja terbatas kepada sumbangan makanan tetapi juga barangan keperluan hidup yang lain
"Oleh kerana pasukan ranting aktif, kami kerap turun padang dan mengenal pasti keperluan penduduk selain daripada bantuan makanan.
"Contohnya, baru-baru ini, kami telah mengusahakan bekalan ubat dan kerusi roda baru kepada seorang penduduk OKU di Flat Setapak Indah Jaya," katanya lagi.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 150 keluarga mendapat manfaat daripada program berkenaan. Selain daripada itu, Ahli Parlimen juga menjalankan aktiviti bakul makanan melalui permohonan atas talian daripada penduduk Parlimen Wangsa Maju.
Comments