KEADILAN Wangsa Maju sahut cabaran Bendera Putih semasa PKPD
- Redzuan Shamsudin
- Jul 3, 2021
- 2 min read

Keadaan rakyat yang dihimpit kesukaran hidup diperburukkan lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai, keadaan kesukaran melampau itu mendorong rakyat yang tidak lagi mempunyai mata pencarian dan terputus bekalan makanan menaikkan bendera putih meminta bantuan.
Katanya, KEADILAN Cabang Wangsa Maju menyahut cabaran berkenaan dengan melakukan rondaan bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Wangsa Maju di beberapa kawasan.
"KEADILAN Wangsa Maju menyahut cabaran bendera putih ini dan telah berkunjung ke beberapa rumah.
"Kami menghantar sumbangan makanan kepada keluarga terdesak," katanya.
Jelas Ketua Cabang Wangsa Maju itu lagi, pasukan mereka sejak dua hari kebelakangan ini telah melawat ke Taman Wangsa Melawati. Di sana mereka menemui Puan P (bukan nama sebenar) yang terputus bekalan makanan setelah setahun kehilangan pekerjaan manakala anak beliau graduan yang belum diterima bekerja.

Di Taman Setapak pula pasukan itu mengunjungi rumah Noh, 50, (bukan nama sebenar) yang menganggur sejak pandemik Covid bermula tahun lalu dan telah disahkan positif Covid 19.
Mereka juga berkunjung ke kampung Lee Kong Chian. Di sana terdapat 9 keluarga menaikkan bendera putih dan mereka adalah antara yang paling miskin dalam perkampungan tersebut.
"Demografik ketiga-tiga kawasan amat berbeza, tiga darjat, iaitu T20, M40, B40. Namun mereka menghadapi masalah yang sama, kehilangan kerja, simpanan yang berkurangan, berisiko mendapat jangkitan Covid dan tidak dapat jadual temujanji vaksinasi," kata Andre.
Belau jelas kesal dengan lembabnya program vaksinasi kerajaan menyebabkan ekonomi tidak boleh dibuka dan keadaan kewangan penduduk M40 dan B40 menjadi amat buruk.
Katanya, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew telah mengetengahkan program vaksinasi penduduk setempat supaya keadaan boleh kembali kepada zaman pra-pandemik. Namun temujanji amat lambat walaupun mereka telah berusaha keras untuk mendapatkan temujanji khusus kepada golongan warga emas dan OKU.
"Kini rakyat berada dalam keadaan yang paling menyedihkan. Pengumuman PKPD di banyak kawasan menunjukkan Kerajan Perikatan Nasional tidak lagi berkemampuan mentadbir negara," katanya lagi.
PKPD akan berlangsung dari 3 – 16 Julai 2021 merangkumi sebahagian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor
Comments