Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa sedih atas pemergian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong yang meninggal dunia hari ini.
Bagi Anwar, Vui Keong merupakan seorang pemimpin yang menjalankan tugas dengan baik terutama ketika menjawat jawatan Menteri Undang-undang dalam kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lalu.
"Terima perkhabaran sayu, Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia hari ini.
"Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga mendiang. Semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan.
"Jasa dan pengorbanan mendiang ketika menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) semasa pentadbiran PH akan terus dikenang rakyat dan negara," kata Anwar dalam kenyataan di Facebook.
Sementara itu, Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga melahirkan rasa hibanya dengan kehilangan bekas rakan dalam kabinet PH selama 22 bulan lalu
"KEADILAN merakam ucapan takziah buat keluarga mendiang Datuk Liew Vui Keong, Ahli Parlimen Batu Sapi merangkap Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah.
"Mendiang seorang mantan menteri yang amat berdedikasi dan cukup komited terhadap usaha reformasi perundangan, termasuk berkait reformasi sistem penjara serta hukuman gantung.
"Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat Dewan Rakyat dan persada politik tanah air.
"KEADILAN mendoakan agar keluarga mendiang Datuk VK Liew akan diberi ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan besar ini," katanya dalam satu kenyataan.
Vui Keong diingati dalam usaha mengkaji semula beberapa akta drakonian sepanjang era PH seperti Akta Hasutan, Akta Mesen Cetak, Akta Universiti dan Kolej Universiti. Kebanyakannya tidak sempat dipinda atau dimansuhkan sehingga kerajaan tumbang pada Februari 2020. Kecuali Akta Antiberita Tidak Benar yang berjaya dimansuhkan di Dewan Rakyat.
Comments