KEADILAN ucap tahniah Sanae Takaichi dilantik PM wanita pertama Jepun
- Suara Keadilan

- Oct 22, 2025
- 1 min read

Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merakamkan ucapan tahniah yang setulusnya kepada YAB Sanae Takaichi (gambar) atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa KEADILAN, Dr Maszlee Malik, parti itu menyifatkan pelantikan Takaichi sebagai satu detik bersejarah dalam landskap politik Jepun.
"Pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun merupakan satu detik penting dalam sejarah politik negara tersebut," ujar kenyataan itu.
Dr Maszlee berkata, kejayaan itu mencerminkan keteguhan tekad dan kematangan demokrasi Jepun yang terus berkembang ke arah lebih inklusif dan progresif.
"Pencapaian bersejarah ini mencerminkan keteguhan tekad beliau serta perkembangan demokratik Jepun yang semakin matang, dan kami mengiktiraf kejayaan besar ini dengan penuh penghargaan," katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen KEADILAN terhadap perkongsian strategik komprehensif antara Malaysia dan Jepun, yang menurutnya dibina atas asas kepercayaan, inovasi serta komitmen bersama terhadap kestabilan serantau dan pembangunan mampan.
"Kami berharap dapat terus menyokong usaha kerajaan kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama penting ini," tambahnya.
Dr Maszlee turut menzahirkan keyakinan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun yang bakal diadakan di Kuala Lumpur akan menjadi medan penting untuk memperluas kerjasama dalam bidang keutamaan bersama.
"Sidang kemuncak itu akan menjadi detik penting untuk memperluas kerjasama dalam bidang seperti teknologi hijau, keselamatan ekonomi dan pengukuhan hubungan rakyat ke rakyat," katanya lagi.
Semalam, Dewan Rendah Parlimen Jepun melantik Sanae Takaichi sebagai perdana menteri wanita pertama negara itu.
Menurut kakitangan Dewan Rendah, Takaichi sebagai Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah telah menerima 237 undi melebihi majoriti daripada 465 kerusi dalam dewan berkenaan.









Comments