top of page

KEADILAN tubuhkan semula Biro Mahasiswa - AMK



Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menubuhkan semula Biro Mahasiswa sebagai menjawab perkembangan semasa yang memerlukan satu wadah diwujudkan bagi memperjuangkan aspirasi mahasiswa.


Menurut Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir, penubuhan semula Biro Mahasiswa itu bagi memastikan keseragaman dan koordinasi usaha yang digarap bukan sahaja dalam memantapkan pengkaderan tetapi termasuk mengarusperdanakan KEADILAN di kalangan generasi muda.


"Bagi merealisasikan ketetapan penubuhan semula Biro Mahasiswa AMK, saya bersetuju untuk melantik Muhammad Haziq Azfar Ishak sebagai Pengerusi Biro Mahasiswa AMK Malaysia yang baharu.


"Pelantikan beliau ini melihat kepada latar belakang cemerlang dan keaktifan beliau dalam aktivisme mahasiswa termasuklah sebagai mantan Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Sesi 2020/21.


"Beliau yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya telah menyertai KEADILAN pada 16 September lepas dalam satu sidang media bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kini aktif dalam gerakan masyarakat," katanya.


Selain itu, AMK juga mengalu-alukan penglibatan mahasiswa seluruh negara dalam menongkah arus kepimpinan bobrok yang ditunjukkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.


Akmal berharap dengan kemasukan anak-anak muda dari pelbagai universiti ke dalam perjuangan besar AMK, kebangkitan mahasiswa akan direalisasikan dalam sedikit masa lagi.


"AMK juga mengalu-alukan kemasukan beberapa lagi individu dalam Biro Mahasiswa AMK termasuklah Tan Ray Ming (mantan Timbalan Yang di-Pertua Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia), Irfan Mahzan (mantan Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia), Aqilah Zainuzi (mantan Timbalan Pengerusi Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaysia Sabah), Chew Yi Suen (Presiden INTIMA) dan Shukrul Khair (mantan Setiausaha Kerja Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya).


"Saya juga dimaklumkan lebih ramai lagi aktivis mahasiswa yang akan menyertai biro ini dan mengalu-alukan hasrat tersebut.


"Sebagai Ketua AMK Malaysia, saya percaya kewujudan wadah seperti ini merupakan salah satu kebijakan yang penting dalam memastikan kekuatan ahli AMK dimaksimumkan sekali gus menjadi ikhtiar ampuh bagi melonjakkan sokongan dalam kalangan segmen mahasiswa terhadap KEADILAN, tambahan aktivisme merupakan salah satu nyawa dan nadi bagi KEADILAN," katanya lagi.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page