
KEADILAN menafikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN pada Ahad lalu telah memutuskan tidak menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri. Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat MPP malah tidak membincangkan sebarang perkara mengenai isu tersebut sebagaimana yang dilaporkan oleh agensi media Sin Chew. "Saya merujuk satu laporan berita Sin Chew bertajuk “PKR no longer supports Mahathir as PM” yang memetik sumber berkata mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Ahad lalu memutuskan tidak menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri. "Saya hadir mesyuarat tersebut dan telah semak semula minit mesyuarat. Ingin saya maklumkan bahawa perkara tersebut tidak dibincang atau diputuskan MPP. Oleh itu, berita Sin Chew adalah palsu. "Untuk makluman semua, mesyuarat MPP pada Ahad lalu membincangkan isu disiplin parti serta persiapan bagi sidang Parlimen 18 Mei," katanya dalam satu kenyataan. Sehubungan itu Fahmi menggesa dengan tegas agar akhbar Sin Chew menarik balik atau membetulkan laporan berkenaan pada kadar segera.