KEADILAN Sarawak baru baru ini mengadakan sesi libat urus bersama Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sebuah hotel di Kuching.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, majlis tersebut diadakan bersama pemimpin dan anggota KEADILAN tempatan yang diberi taklimat mengenai perjalanan parti terkini di peringkat nasional dan dalam kerajaan pusat.
"Parti KEADILAN perlu diperkukuh, bukan sahaja untuk meyumbang kepada kemakmuran dan keharmonian Sarawak tetapi peranan dan tanggungjawab setiap anggota parti sangat diperlukan membantu kepimpinan parti dalam usaha membangunkan sebuah negara bangsa yang aman makmur.
"Tungak kemakmuran dan keharmonian ke arah pembangunan seimbang yang digariskan dalam wadah Madani perlu dikupas, dihadam dan dilaksanakan.
"Kemampanan, daya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat dan ihsan bukan hanya ungkapan, tetapi sesuatu yang akan dilaksana dan diamalkan.
"Sarawak merupakan negeri contoh yang menganjak maju kehadapan. Terutama sekali dalam mengekalkan perpaduan rakyat dan kemajuan ekonomi negeri. Justeru KEADILAN akan memainkan peranan bersama di mana yang perlu demi rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, kata Abang Zulkifli, KEADILAN perlu menghadapi pelbagai cabaran dalam melakukan reformasi dengan cuba mengembalikan keyakinan rakyat kepada politik selepas melalui pancaroba hebat pada tempoh 2018 - 2022 lalu.
Manakala dalam hubungan Kerajaan Persekutuan dengan Negeri, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Primier Abang Jo, katanya sebagaimana diberitahu oleh Saifuddin, tidak mempunyai sebarang masalah dan boleh bekerjasama dalam pelbagai perkara.
Di samping itu, menurut Abang Zulkifli, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya akan menjalankan tanggungjawab pembangunan di Sarawak sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan, termasuk dalam membangun kemudahan keselamatan dan memperbaiki insfrastrukturnya.
"Datuk Seri Saifuddin turut mengucapkan terima kasih dan syabas kepada kepimpinan KEADILAN Sarawak yang telah menubuhkan satu sekrateriat untuk membantu menangani masalah kewarganegaraan.
"Sekretariat ini berperanan sebagai perantara antara rakyat, terutama sekali yang tinggal jauh di pendalaman. Sudah semestinya usaha ini akan menjadi saluran yang akan memudahkan urusan rasmi agensi berkaitan," katanya kagi.
Majlis libat urus itu turut dihadiri oleh Johari Kasim, Setiausaha Politik Menteri KDN, Datuk Seri Hafsah Harun, YB Chiew Choon Man serta Senator Abun Sui Anyit.
Comments