top of page

KEADILAN Terus Mara, Andai Tidak Sehaluan Berundur Dengan Terhormat

  • Writer: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
    Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
  • 13 hours ago
  • 2 min read

ULASAN: Sejarah ‘Tahun Perdamaian’ yang menyaksikan Saidina Hasan bin Ali melepaskan jawatannya sebagai khalifah kepada Saidina Muawiyah bin Abi Sufyan pada tahun 41H/661M harus dijadikan rujukan dan pengajaran kepada anggota-anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang sudah tidak berkeinginan untuk kekal di dalam perjuangan reformasi.


Saidina Hasan bin Ali sanggup melepaskan jawatan beliau demi memastikan perpecahan umat Islam tidak berterusan. Saidina Hasan bin Ali selepas melepaskan jawatan khalifah meninggalkan pusat politik di Kufah dan terus mematuhi perjanjian perdamaian demi mengelakkan sebarang konflik baharu dari berterusan.


Perpecahan kecil KEADILAN


Perpecahan kecil dalam KEADILAN hari ini sudah tidak dapat dielakkan apabila mantan Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli mengambil keputusan untuk meninggalkan parti dan menubuhkan wadah politik baru. Keputusan itu walaupun sukar dan menghiris perasaan sebahagian besar anggota KEADILAN, ia tetap dihormati.


Keputusan Rafizi meninggalkan KEADILAN dilakukan secara terbuka dan tidak mengganggu-gugat keamanan dan stuktur dalam parti untuk jangka masa panjang. Beliau pergi meninggalkan KEADILAN dengan aman, tiada sebarang drama yang beliau cuba timbulkan sehingga menggugat keharmonian.


Merosakkan parti dari dalam


Namun pada hari ini terdapat segelintir anggota KEADILAN yang masih kekal dalam parti walaupun secara terang sudah tidak mempunyai keinginan untuk bersama perjuangan reformasi KEADILAN. Mereka ini seperti dedalu yang merosakkan KEADILAN dari dalam, mereka sudah tidak berkeinginan untuk mengangkat nama KEADILAN untuk menghadapi pilihanraya akan datang. Mereka kekal di dalam KEADILAN demi mempertahankan kedudukan dan jawatan politik yang masih tersisa. Namun gerak kerja dan semangat mereka bukan lagi untuk KEADILAN.


Dr. Mohd. Fauzi Hj. Fadzil
Dr. Mohd. Fauzi Hj. Fadzil

Sesungguhnya golongan dedalu ini patut mencontohi sejarah yang ditunjukkan oleh Saidina Hasan bin Ali, jika benar golongan dedalu ini sudah tidak mahu bersama KEADILAN maka tinggalkan wadah reformasi ini secara terhormat. Walaupun pemergian mereka sedikit melukakan namun ia lebih baik daripada terus kekal dalam KEADILAN dan membawa kerosakan dari dalam parti. Keberadaan golongan dedalu di dalam KEADILAN hanya akan merencatkan gerak kerja bagi menghadapi pilihanraya akan datang, mereka sudah pasti tidak berkeinginan untuk mencurah bakti seperti dahulu.


Buatlah keputusan terhormat


KEADILAN sentiasa menerima semua anggotanya yang menyatakan taat setia untuk terus berada di dalam perjuangan reformasi. Namun jika terdapat ahli yang secara terang-terangan menunjukkan kesetiaan dan minat kepada wadah politik lain, maka silakan dengan secara hormat tinggalkan KEADILAN.


Kesetiaan dan kepercayaan tidak boleh dipaksa, jika ia sudah tidak wujud maka kami seluruh keluarga KEADILAN menghormati keputusan mana-mana pihak untuk keluar secara terhormat. Contoh ini telah ditunjukkan oleh Datuk Seri Rafizi. Pemergian beliau walaupun dikesali, tetap dihormati kerana tidak meyusahkan wadah KEADILAN untuk jangka masa panjang.


Justeru kepada golongan dedalu yang masih wujud di dalam KEADILAN, buatlah keputusan yang terhormat. Jika benar masih ingin kekal setia bersama KEADILAN maka zahirkan taat setia tersebut, sekiranya ingin meninggalkan KEADILAN maka lakukannya secara aman.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page