KEADILAN perlu menangani segala fitnah dan tohmahan terhadap parti dengan pendekatan yang baharu dan efektif.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata menangani fitnah di media sosial bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan satu kerjasama yang erat dari semua jentera penerangan.
""Dahulu kita pakai flyers, kaset dan guna CD untuk berkempen. Kini kita berdepan realiti baharu iaitu media sosial. Ia lebih tertumpu kepada kelompok tertentu dan dilihat lebih efektif.
"Hari-hari kita bertempur di media sosial, ada sahaja yang mahu menggugat kestabilan PH.
"Dalam berdepan serangan media sosial, saya mencadangkan kita mengambil pendekatan pengarang majalah Tempo, Goenawan Mohamad.
"Beliau berkata, jadilah seperti samurai, apabila digempur dia diam tetapi bila dia sekali serang, musuh mati.
"Sebab itu kita perlu perkasakan penerangan di semua peringkat. Kita menyebarkan pandangan dan komen yang efektif di media sosial bagi menangani fitnah jahat," katanya ketika berucap di Konvensyen Penerangan KEADILAN.
Shamsul yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menyeru jentera penerangan supaya memulakan kempen dengan segera.
"Mulakan kempen bantu rakan kita di Sarawak, memandangkan tidak sampai setahun pun akan mengadakan pilihan raya negeri.
"Rapatkan balik saf dan perbetulkan lompong yang ada. Lawan tetap lawan," katanya.
Comments