KEADILAN Sipitang sampaikan sumbangan kepada keluarga arwah Zara Qairiniah
- Suara Keadilan

- Aug 2, 2025
- 1 min read

KEADILAN Cabang Sipitang, Sabah baru baru ini telah mengadakan ziarah takziah ke atas keluarga Allahyarhamah Zara Qairinah, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Agama (SMA) Tun Datu Mustafa, Limauan, yang meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Cabang Sipitang merangkap Exco Wanita KEADILAN Pusat, Junaidah Makku, kunjungan itu berlangsung di kediaman keluarga Allahyarhamah di Kampung Doal Mesapol, Sipitang.
"Dalam kesempatan ini, pihak KEADILAN menyampaikan sumbangan ikhlas daripada Tuan Wendey Agong Baruh, Ketua Cabang KEADILAN Sipitang, sebagai tanda solidariti dan simpati atas kehilangan yang amat dirasai oleh keluarga," kata Junaidah dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek, juga berkesempatan menziarahi keluarga Allahyarhamah semasa berada di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, selepas menamatkan lawatan kerja rasmi beliau di Kota Marudu, Sabah.
"KEADILAN Sipitang merakamkan ucapan takziah dan mendoakan agar roh Allahyarhamah Zara Qairinah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan para solihin.
"Kami menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada siasatan pihak berkuasa agar dapat dijalankan secara telus dan menyeluruh, demi keadilan dan keselamatan semua pelajar di institusi pendidikan," katanya lagi.
Turut serta dalam kunjungan itu ialah Arow Sinau, Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Sipitang; Saidi Ali dan Shazrinshah Putra, Pasukan Pembimbing Lapangan (PPL) JPRP; Noraishah Malulur, Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK); serta barisan Ahli Jawatankuasa Cabang, sayap Wanita dan AMK Sipitang.









Comments