KEADILAN Shah Alam harap KPN baharu perkukuh integriti, ketelusan PDRM
- Suara Keadilan
- 11 minutes ago
- 1 min read

KEADILAN Cabang Shah Alam berharap pelantikan Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail akan memperkukuh integriti pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).
Ketua Penerangan KEADILAN Shah Alam, Adib Ashman Burhan (gambar), berkata Datuk Seri Khalid diyakini seorang yang berwibawa untuk menjana transformasi dalam PDRM.
"Kami yakin Datuk Seri Mohd Khalid akan memimpin PDRM dengan kompetensi tinggi, berlandaskan prinsip keadilan, profesionalisme, dan kesetiaan kepada negara. Menjadikan beliau figura berwibawa untuk memacu transformasi PDRM.
"Pelantikan ini diharap menjadi pemangkin kepada transformasi menyeluruh dalam pasukan polis selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI," kata Adib dalam satu kenyataan.
Beliau juga berharap pelantikan Khalid bagi tempoh dua tahun (2025-2027) itu akan menyuntik semangat agar kepimpinan baharu PDRM memperkukuh integriti dan ketelusan institusi kepolisian ke tahap yang lebih tinggi.
"Seterusnya, adalah penting agenda reformasi berteraskan prinsip hak asasi manusia diteruskan dan diperkasa demi keadilan sejagat.
"Di samping itu, PDRM juga perlu memastikan ia kekal relevan sebagai pasukan keselamatan yang sentiasa berpaksikan keperluan dan kesejahteraan rakyat, memastikan khidmatnya terus menjadi rujukan utama dalam menjaga keamanan negara," katanya lagi.
Adib dalam kenyataan sama turut mengucapkan ribuan terima kasih dan selamat bersara kepada mantan KPN Tan Sri Razarudin Husain atas sumbangan beliau sebagai Ketua Polis Negara sejak 23 Jun 2023. Dedikasi dan jasa beliau dalam memacu kecemerlangan PDRM, katanya, amat dihargai.
Comments