KEADILAN Shah Alam buat laporan polis isu hina Sultan Selangor
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

KEADILAN Cabang Shah Alam semalam membuat laporan polis berhubung hantaran di media sosial menghina DYMM Sultan Selangor serta mencemar martabat institusi Diraja.
Setiausaha Pengelola Cabang KEADILAN Shah Alam, Suryamuizzudin Kamarudin berkata, hantaran tular berkenaan mengandungi imej suntingan dan kapsyen yang disifatkan sebagai biadab serta melampau mempersendakan Sultan Selangor.
"Hantaran tersebut mengandungi imej suntingan dan kapsyen yang bersifat biadab serta melampau. Perbuatan ini bukan sahaja menghina Institusi Beraja, malah merupakan satu bentuk provokasi yang berpotensi mencetuskan ketegangan dan mengganggu ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menolak sebarang bentuk penghinaan terhadap Institusi Beraja.
"Sebarang bentuk penghinaan terhadap Institusi Beraja adalah tidak boleh diterima sama sekali. Institusi ini bukan sekadar simbol, tetapi teras kepada kestabilan, keharmonian dan kedaulatan negeri," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar mengambil tindakan segera dan tegas terhadap individu terlibat.
"Kami menggesa pihak berkuasa untuk bertindak segera, tegas dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat," katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen KEADILAN Cabang Shah Alam untuk terus mempertahankan kehormatan institusi Diraja serta memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.




Comments