top of page

KEADILAN Selangor tidak boleh berada dalam zon selesa - Amirudin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Amirudin berucap dalam Konvensyen KEADILAN Selangor 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati
Amirudin berucap dalam Konvensyen KEADILAN Selangor 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) mengingatkan pimpinan dan jentera parti agar tidak terperangkap dalam zon selesa, sebaliknya bangkit memperkukuh kekuatan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.


Menurut beliau, pengalaman 2008 selepas KEADILAN dan Pakatan Rakyat menguasai Selangor berbeza dengan situasi hari ini apabila ketika itu wujud keterujaan terhadap kerajaan baharu, namun dalam masa sama parti berdepan tekanan politik yang berbeza antara kerajaan negeri dan Persekutuan.


"Beza dengan 2008, ada keterujaan kepada kerajaan baharu dan kita ada tanggungjawab menjelaskan kepada rakyat secara konsisten kerana pada ketika itu kita berada dalam keadaan tertekan bila Kerajaan Persekutuan berada dalam kerangka politik yang berbeza. Kita di kerajaan negeri dalam suasana berbeza dan kita melawan naratif yang berlaku," katanya ketika berucap di Konvensyen KEADILAN Selangor 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati.


Selain itu, beliau mengimbau kembali himpunan yang dianjurkan berhampiran Taman Melawati sekitar April atau Mei 2022, ketika KEADILAN berdepan kekalahan di Pilihan Raya Negeri Melaka, Johor dan Sarawak.


"Masa itu saya sebut jangan takut, Gombak akan kekal wilayah KEADILAN, Selangor menjadi kubu KEADILAN. Kita baru lepas pilihan raya Johor, kita kalah di Johor dan Sarawak, tetapi kita segera bangkit, turun beri penjelasan, melawan naratif dan memperkenalkan rangka kita," ujarnya.


Hasil usaha tersebut, katanya, dalam tempoh lapan bulan selepas PRN Johor, KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) berjaya mencatat kemenangan besar pada PRU ke-15.


Amirudin menegaskan, kejayaan lalu tidak harus melalaikan anggota atau pimpinan parti.


"Kita boleh bangkit saat kita terjatuh, mudah bangun saat terluka, tetapi banyak juga terjadi kita lalai bila berada di singgahsana. Jadi kita mulakan 2026 di Selangor dengan kejelasan tekad," katanya.


Beliau berkata, kejelasan tersebut penting bagi memastikan KEADILAN terus kukuh di Selangor serta merampas kembali kerusi yang tewas dalam Pilihan Raya Negeri 2023.


"KEADILAN kena menyumbang kerusi signifikan, 12 hingga 14 kerusi dalam PRU akan datang. Tanpa kerusi itu kita tidak akan dapat menghantar Perdana Menteri di Putrajaya dan tanpa kejayaan di Dewan Negeri kita tidak akan menyambung kepimpinan penggal keempat ini," tegasnya.


Tegas Amirudin, pada waktu ini banyak pencapaian kerajaan yang boleh dijadikan modal dan naratif untuk dibawa kepada rakyat.


"Jumlah STR, SARA, penghapusan miskin tegar, ringgit mengukuh, reputasi negara bertambah baik. Selangor kekal penyumbang ekonomi terbesar. Malah untuk 2026, Selangor sediakan dana kepada 4,000 orang bagi pendidikan, dengan 50 peratus ditanggung kerajaan negeri," katanya.


Amirudin juga berkata, kejayaan ekonomi ketika ini dipacu oleh KEADILAN, justeru lawan politik cuba memainkan isu kaum dan agama secara sempit.


"Kita tidak boleh diam berdiri. Kita kena bangun, kita kena bangkit kerana kita ada tanggungjawab selamatkan negara. Lawan politik tahu untuk kita capai pembangunan dan pelaburan, KEADILAN yang bawa kejayaan ekonomi negara kita, jadi mereka guna isu kaum dan agama sempit," katanya.


Beliau menyeru seluruh jentera parti memperkukuh latihan dan gerak kerja agar momentum kemenangan dapat diteruskan pada pilihan raya akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page