KEADILAN Selangor bersemangat untuk menawan semula Parlimen Ampang selepas Zuraida Kamaruddin selaku Ahli Parlimen mengkhianati parti dan mandat penduduk di kawasan itu.
Perkara itu boleh dilihat dengan usaha Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengadakan Jelajah Silaturahim Parlimen Ampang bagi mengadakan pertemuan dengan penduduk pada 21 Jun lalu.
Sewaktu pertemuan dengan pimpinan KEADILAN Cabang Ampang, Amirudin berkata rakyat tidak mengundi kerana populariti seseorang wakil rakyat semata-mata, sebaliknya rakyat juga menilai usaha, keprihatinan dan prinsip parti yang mentadbir negeri.
"Kekuatan Ampang bukan kerana Ahli Parlimen. Bukan kerana wakil-wakil kawasan yang telah dipilih tapi keupayaan kita bekerja sebagai satu pasukan.
"Sebab itu kita kena kekalkan prinsip. Pastikan pentadbiran yang baik, telus dan menjaga kepentingan rakyat kerana akhirnya yang akan dinilai oleh rakyat ialah kerja kita.
"Apakah hasil yang bakal kita tawarkan pada Pilihan Raya Umum akan datang? Kita sampaikan mesej yang sama iaitu mesej perubahan," katanya seperti yang disiarkan di saluran YouTube rasmi milik Amirudin Shari.
Pada masa sama, kata Amirudin, jelajah tersebut adalah bagi memberi keyakinan dan jaminan bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) akan terus kukuh di Selangor.
"Saya adakan jelajah ini untuk sampaikan mesej penting. PH selaku pentadbir dan pimpinan utama adalah sangat kukuh.
"Khabar angin dan cerita bahawa kononnya kerajaan negeri akan tumbang, kalau akan tukar pun, saya tak akan bertukar, saya masih bersama PH.
"Memang kita ini ada kekurangannya tapi kekurangan ini ditampung dengan semangat dan muafakat antara kita.
"Sebab itu saya minta agar kekukuhan dan muafakat sesama kita dapat dipertahankan," katanya.
Semasa bertemu dengan warga Ampang, Amirudin berkata beliau membincangkan pelbagai isu seperti peranan wanita dalam pentadbiran, penglibatan anak muda dalam kepimpinan parti dan negeri, serta isu setempat yang membelenggu masyarakat.
"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan dekat di hati rakyat, jelajah ini memberi ruang buat saya menyantuni dan mendengar sendiri denyut nadi serta keluh kesah rakyat di negeri Selangor.
"Prinsip-prinsip perjuangan dan agenda reformasi institusi yang kami pegang selama ini telah menjadi kunci keteguhan pentadbiran PH dan akan terus saya junjung bersama barisan kepimpinan pentadbiran.
"Usah bazirkan masa dengan sengketa dan adu domba, perkara utama adalah menjunjung amanah dan mandat yang telah diberikan rakyat," katanya.
Comments