KEADILAN Selangor menyambut baik peruntukan RM551.56 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, pakej tersebut mampu meringankan beban golongan B40 dan M40 yang terjejas pendapatan akibat lockdown yang berlaku sekarang.
"Ucapan tahniah diucapkan kepada pasukan pimpinan Kerajaan Negeri diterajui Datuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari atas keprihatinan dalam menyediakan peruntukan itu yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor.
"Pakej bantuan yang dilanjutkan dari Pakej Kita Selangor 1.0 seperti inisiatif bakul makanan untuk golongan berpendapatan rendah dan terkesan akibat pandemik serta pelaksanaan PKP terbukti dapat membantu dalam meringankan beban rakyat.
"Program yang dilaksanakan di setiap 56 DUN juga bersifat inklusif, holistik dan bertepatan dengan matlamat Kerajaan Negeri iaitu kebajikan rakyat haruslah diberi keutamaan dengan mengetepikan perbezaan ideologi politik," katanya.
Selain itu, Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkenaan juga memuji beberapa sumbangan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri bagi meringankan beban waris pesakit Covid 19 dan juga golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
"Bantuan lain seperti sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,000 untuk setiap pesakit Covid-19 cukup bermakna kerana walaupun jumlah itu tidaklah besar namun sekurang-kurangnya mampu meringankan beban waris yang kehilangan ahli keluarga.
"Selangor juga kekal sebagai negeri yang cukup prihatin nasib Orang Kurang Upaya apabila golongan OKU di Selangor bakal menerima bantuan ‘one-off’ berjumlah RM500.
"Tatkala Kerajaan Persekutuan gagal dalam memastikan rakyat menerima bantuan moratorium, skim penangguhan bayaran sewa selama sebulan kepada Rumah PPR dan penyewa Rumah Smart Sewa di Selangor telah meringankan beban seramai 2,632 individu yang menyewa di Rumah PPR dan 477 peserta Skim Smart Sewa.
"Perkara inilah yang sewajarnya diteladani oleh pihak Kerajaan Persekutuan seandainya benar-benar cakna dengan keluhan rakyat kerana pada ketika ini, Ahli-ahli Parlimen dari pihak pembangkang dilaporkan tidak menerima sebarang peruntukan sehingga terpaksa membelanjakan elaun Ahli Parlimen demi memastikan rakyat yang terkesan terus menerima bantuan," katanya.
Menurut Halimey lagi, skim-skim bantuan yang diberikan itu membuktikan Kerajaan Persekutuan hanya bermain wayang dan tidak sepenuh hati mahu membantu rakyat ketika warga Malaysia dibelenggu pandemik Covid 19 dan kejatuhan ekonomi.
Comments