KEADILAN Selangor akan memastikan kerusi Parlimen Ampang kekal dipertahankan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Rodziah Ismail, kerusi yang dirampas dari BN sejak 3 penggal lalu itu tidak mungkin terlepas ke tangan Bersatu dalam PRU akan datang.
"Parlimen Ampang menjadi kerusi tetap Parti Keadilan Rakyat dalam 5 kali pilihan raya semenjak tahun 1999 lagi. Malah telah memenangi 3 penggal berturut dari 2008 sehingga kini.
"Pimpinan dan ahli-ahli parti KEADILAN Ampang sepakat berusaha keras untuk mengekalkan kerusi tradisi ini," kata Rodziah dalam satu kenyataan.
Exco Kerajaan Selangor itu yang diamanahkan sebagai Penyelaras Parlimen Ampang bertekad akan menggilap semula kekuatan jentera parti selepas terjejas teruk akibat Langkah Sheraton tahun lalu.
"Perkara pertama yang saya ingin laksanakan ialah merangkul semua kekuatan jentera parti dan kita bersatu padu berganding tenaga menentang pengkhianatan yang tidak dapat dimaafkan bagi kerusi KEADILAN ini.
"Reformasi akan terus bergema dan dilaksanakan di Parlimen Ampang oleh para aktivis parti yang tetap ikhlas dan setia dengan perjuangan parti keramat ini.
"Kedua, menyantuni dan memberikan khidmat kepada rakyat di dalam menghadapi kemelut pandemik dan krisis ekonomi yang melanda negara. Mereka yang kelaparan, rumah yang dinaikkan bendera putih, anak muda yang tertekan resah memikirkan nasib hari esok, keluarga yang kehilangan ketua keluarga akibat Covid-19 semuanya perlu dibantu dan disantuni.
"Ketiga, memastikan KEADILAN akan terus menjadi pilihan mewakili rakyat baik di Parlimen mahu pun di Dewan Negeri pada PRU 15 nanti," katanya.
Untuk rekod, kerusi Ampang dimenangi KEADILAN dalam PRU 2008 dan terus dipertahankan sehingga kini walaupun Ahli Parlimennya Datuk Zuraida Kamaruddin telah menyertai Bersatu pada tahun lalu.
Parlimen Ampang selepas itu tetap bergerak dengan sokongan NGO-NGO pro Pakatan Harapan dan dibantu oleh selebriti Datuk Hans Isaac dengan NGO AkuBudakAmpang.
Comments