top of page

KEADILAN Sarikei buka kaunter bergerak bantu rakyat akses bantuan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
 Bruce Yee (berdiri berbaju KEADILAN) memerhati petugas menyelesaikan isu masyarakat setempat
 Bruce Yee (berdiri berbaju KEADILAN) memerhati petugas menyelesaikan isu masyarakat setempat

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Sarikei, Sarawak dengan kerjasama sayap Wanita Cabang dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Mutiara Sarikei (PKMMS) telah mengadakan kaunter perkhidmatan bergerak di Pusat Penjaja Bintangor, bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan maklumat serta membuat permohonan pelbagai bantuan kerajaan di bawah inisiatif Kerajaan Madani.


Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah permohonan dan kemas kini Sumbangan Tunai Rahmah (STR), semakan SARA, MySalam, eKasih, PEKA 40, Skim Perubatan Madani, Skim Kasih Asnaf Sarawak (SKAS), bantuan perubatan warga emas (SCHB), serta Kenyalang Gold Card (KGC).


Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee, berkata inisiatif ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat pelbagai lapisan termasuk golongan belia, penjaja, keluarga dan warga emas.


"Kaunter bergerak kami telah dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat setempat. Pasukan kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu dan menyelesaikan setiap pertanyaan serta masalah bantuan yang dikemukakan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, KEADILAN Sarikei mendapati masih ramai individu, terutamanya warga emas, menghadapi kesukaran dalam menuntut bantuan SARA dan SKAS akibat kekangan kemahiran penggunaan telefon pintar.


"Pasukan KEADILAN Sarikei mendapati masih ada individu menghadapi masalah dalam menuntut bantuan SARA dan bantuan SKASnya akibat kurang arif telefon pintar, terutamanya golongan warga tua," katanya.


Pada masa sama, Bruce menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Madani dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) atas komitmen berterusan dalam membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan sokongan ekonomi.


"Ramai penerima STR dan SARA di Bintangor berasa syukur kepada Kerajaan Madani dan PMX kerana memahami kehendak rakyat dan sentiasa bersedia membantu meringankan beban hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan," katanya.


Beliau turut memaklumkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membuka kaunter bergerak dua kali sebulan di Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Bersepadu (IAC) Sarikei, pada Isnin minggu pertama dan ketiga setiap bulan dari 8 pagi hingga 5 petang, dengan tarikh terdekat pada 17 November 2025.


Menurut Bruce Yee lagi, KEADILAN Sarikei akan terus memperluas program turun padang seperti ini bagi memastikan tiada rakyat Sarawak yang ketinggalan dalam menikmati manfaat dasar-dasar Kerajaan Madani.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page